KUALA LUMPUR – Sultan Selangor, Sultan Sharafudin Idris Shah Alhaj amat murka dengan keputusan terbaharu Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan menganggap ia tidak bertanggungjawab, dibuat tanpa ihsan, tidak berperikemanusiaan, sekali gus tidak mempamerkan keprihatinan terhadap kezaliman yang berlaku.
Baginda malah berpandangan bahawa hukuman yang dijatuhkan iaitu denda sebanyak RM100,000, bayaran pampasan kerugian ditanggung tuan rumah dan MFL, pemotongan tiga mata serta hukuman menjalankan perlawanan (LS14) tanpa penonton adalah tidak masuk akal dan amat berlebihan memandangkan kemenangan telah pun diberikan kepada pasukan lawan.
“Beta amat murka dengan keputusan terbaharu MFL ini yang Beta anggap tidak bertanggungjawab, dibuat tanpa ihsan, tidak berperikemanusiaan, dan tidak mempamerkan keprihatinan terhadap kezaliman yang berlaku.
“Pada 5 Mei lalu, satu kes jenayah serangan asid yang mengancam nyawa telah menimpa ikon bola sepak Selangor dan Malaysia, Faisal Halim. Beberapa lagi insiden serangan terhadap pemain bola sepak profesional juga berlaku pada minggu yang sama.
“Disebabkan itu, Beta telah pun memberi perkenan kepada pihak Selangor FC untuk menghantar permohonan penangguhan perlawanan Piala Sumbangsih kerana para pemain Selangor FC masih dalam keadaan trauma dan ketakutan.
“Bagaimanapun, pihak MFL telah menolak permohonan penangguhan tersebut dan memberi kemenangan 3-0 serta kejuaraan Piala Sumbangsih kepada pihak lawan,” titah Sultan Sharafudin dalam kenyataan pada Rabu.
Baginda juga akui amat pelik kerana MFL dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)tidak menunjukkan rasa simpati dan belas kasihan terhadap pihak-pihak yang teraniaya dalam isu ini.
“Harus diingat, apa yang berlaku ini bukan sahaja akan mencemar kredibiliti sukan bola sepak di negara ini, malah boleh membunuh semangat dan halatuju pasukan Selangor FC,” tegas baginda lagi.
Mengulas lanjut, Sultan Sharafuddin bertitah, berhubung kes ketidakhadiran Selangor FC ke Perlawanan Piala Sumbangsih yang juga merupakan aksi pertama Liga Super pada 10 Mei 2024 (Selangor FC telah memohon penangguhan).
“Beta mengambil maklum dan telah membaca di media sosial serta surat khabar.
“Beta berasa amat kecewa dan sangat dukacita dengan keputusan ahli-ahli Malaysian Football League (MFL) serta ahli-ahli Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) khususnya Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.
“Beta terkejut dan kecewa kerana Datuk Hamidin langsung tidak serius bersuara padahal beliau sebelum ini merupakan bekas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dari tahun 1995 hingga 2013 dan berpengalaman dalam arena bola sepak Selangor serta menerima darjah kebesaran Dato’ Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S.) daripada Beta,” titah baginda memberi peringatan.
Menurut Sultan Sharafuddin lagi, baginda telah terlibat dalam arena bola sepak tempatan sejak tahun 1968 semasa zaman FAS diterajui oleh Datuk Seri Harun Idris sehingga baginda bersara pada tahun 1990, dan dalam tempoh itu belum pernah baginda saksikan keadaan seperti sekarang ini.
“Sukan yang sepatutnya menjadi platform perpaduan antara berbilang kaum dan rakyat, kini telah dicemari dengan keganasan. Lebih teruk lagi, MFL dan FAM langsung tidak serius bersuara dan mengambil langkah-langkah berjaga-jaga yang perlu mengenai aspek keganasan dan kezaliman yang berlaku terhadap pemain-pemain.
“Beta kini hanya berperanan sebagai Penaung di dalam FAS. Namun jika Beta merupakan peneraju kepimpinan FAS dan Selangor FC, Beta tidak teragak-agak untuk menarik keluar pasukan Selangor daripada Liga Super untuk tempoh masa tertentu.
“Beta ingin mengingatkan sekali lagi bahawa bola sepak adalah sukan yang digemari dan menyatupadukan rakyat Malaysia berteraskan semangat kesukanan yang tinggi.
“Tindakan-tindakan melampau MFL ini langsung tidak melambangkan semangat ini dan hanya akan merosakkan imej industri bola sepak tempatan serta sokongan orang ramai terhadap sukan yang kita cintai ini. Beta ingatkan kepada MFL, buatlah keputusan dengan berhati-hati,” titah Baginda.