PETALING JAYA: Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Dominic Lau Hoe Chai hari ini mengumumkan Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Buntong, A Sivasubramaniam dan penyokongnya meninggalkan DAP seterusnya menyertai Gerakan.

Lau berkata salah satu sebab A Sivasubramaniam melepaskan keahlian DAP adalah kerana sikap tamak kuasa dan terlalu sombong para pemimpinnya.

“Gerakan akan terus memperkasakan jenteranya dalam menghadapi pilihan raya umum mengejut yang mungkin diadakan pada bila-bila masa. Kewibawaan dan perjuangan yang dipraktikkan oleh Gerakan selama ini akan membawa kejayaan,” katanya.

Sivasubramaniam secara rasmi menyertai Gerakan selepas bekas wakil rakyat DAP dari Perak itu mengumumkan keluar parti itu pada 9 Mac dan menyokong gabungan Perikatan Nasional (PN).

Terdahulu, Sivasubramaniam yang merupakan Adun 3 penggal di Buntong dalam satu kenyataan berkata, beliau bertindak keluar DAP selepas mengalami pengalaman pahit selama 22 bulan bersama DAP itu di Perak.

“Kita semua kenal kononnya DAP adalah sebuah parti pelbagai kaum berpaksikan demokrasi.

“Tetapi keadaan sebenarnya adalah terlalu pahit. Demokrasi dalam DAP Perak dikuasai oleh 1-2 orang yang mengetepikan kesuburan demokrasi dalam parti itu.

“Di peringkat negeri, 2 saudara terlalu selesa dan kuat. Tiada siapa yang boleh menegur mereka, tiada siapa boleh menasihati mereka. Demokrasi ala DAP terlalu cacat,” katanya tanpa menyebut nama pemimpin yang dimaksudkan.