KUALA LUMPUR – Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC), Kementerian Kesihatan (KKM) kini memantau hampir sepanjang masa susulan peningkatan kes penyakit HFMD (penyakit tangan, kaki dan mulut) dan Covid-19, di beberapa lokasi ketika ini.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, beberapa prosedur sedia ada telah dilaksanakan dan KKM sentiasa berada dalam keadaan siap siaga dan waspada.
Beliau berkata, fenomena kes berjangkit seperti HFMD dan Covid-19 adalah kompleks dan disebabkan oleh pelbagai faktor (multifaktorial).
“Walaupun Covid-19 kini dianggap endemik seperti penyakit berjangkit lain, namun ia tetap boleh mengalami gelombang wabak secara berkala.
“Maka, penting untuk kita tidak leka, tidak terlalu selesa, dan sentiasa mengekalkan pertimbangan yang wajar,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan sambutan Hari Imunisasi Peringkat Kebangsaan di Putrajaya lapor Utusan pada Isnin.
Katanya, pihaknya amat menekankan bahawa program imunisasi penting dan jika ia diabaikan maka, penyakit berjangkit tertentu boleh kembali muncul.
Dr Dzulkefly berkata, penyakit-penyakit berjangkit yang terkandung dalam Program Imunisasi Kebangsaan (NIP) adalah seperti Polio, Campak dan Difteria.
Justeru, katanya, sasaran liputan imunisasi sekurang-kurangnya 95 peratus amat kritikal untuk memastikan imuniti kelompok dapat dicapai dan dikekalkan.
Pada masa sama, katanya, terdapat banyak maklumat salah dalam talian yang mengganggu keyakinan ibu bapa terhadap vaksin dan kerjasama semua pihak, terutama ibu bapa, amat penting untuk memastikan anak-anak dilindungi.
“Walaupun hanya satu nyawa hilang, impaknya besar kepada keluarga. Maka, jangan ambil ringan dan pastikan anak-anak mendapat imunisasi lengkap,” katanya.