KUALA LUMPUR – Datuk Seri Zuraida Kamaruddin melepaskan jawatan sebagai
sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.
Bukan cuma itu, Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang memaklumkan penyertaannya dalam Parti Bangsa Malaysia (PBM) sekali gus keluar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
“Alhamdulillah, pendirian saya selaku Ahli Parlimen Ampang menyokong Kerajaan yang
dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seei Ismail Sabri (government of the day) adalah selari dengan pendirian PBM.
“Insya Allah saya akan berjumpa dengan Perdana Menteri dalam masa terdekat untuk membincangkan peletakan jawatan saya sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.
“Saya juga akan berbincang tentang peranan dan hala tuju PBM demi mengukuhkan lagi kerajaan Keluarga Malaysia. Saya mempunyai keyakinan penuh terhadap kebijaksanaan Perdana Menteri,” kata Zuraida dalam kenyataan pada Khamis.
Menurutnya, beliau telah membuat pertimbangan yang mendalam dan telah memutuskan untuk menyertai PBM.
“Saya mempercayai dengan perjuangan parti ini dan amat tertarik dengan enam prinsip terasnya iaitu keterlibatan pelbagai kaum; pemberdayaan wanita; pemerkasaan anak muda; pembangunan ekonomi; peningkatan pendidikan dan kemajuan sains teknologi sebagai elemen untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju,” jelasnya.
Zuraida juga memaklumkan beliau telah
berkecimpung dalam politik selama 24 tahun, termasuk 14 tahun terakhir sebagai Ahli Parlimen Ampang.
“Sepanjang penglibatan dalam politik, saya amat bersyukur kerana dapat menyumbang kepada kebajikan rakyat, khususnya pengundi di Ampang dan di kedua-dua Kementerian yang saya telah diberikan amanah untuk berkhidmat.
“Beberapa bulan kebelakangan ini saya mula berfikir tentang politik negara dan hala tuju masa depan politik saya. Saya telah mendapat maklum balas dari penyokong rapat saya, pengundi di Ampang, rakan sekerja dalam kerajaan, wakil-wakil dari pertubuhan masyarakat sivil serta kumpulan dari sektor perniagaan dan korporat,” ujarnya.
Zuraida juga merakamkan ucapan terima kasih kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas kepercayaan mereka melantik saya sebagai Menteri Kabinet.
“Sepanjang saya berkhidmat di kedua-dua Kementerian, saya telah berusaha memberikan yang terbaik dan membawa perubahan positif kepada rakyat dan kehidupan mereka. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih atas sokongan padu yang saya terima sepanjang perkhidmatan saya di kedua-dua Kementerian.
“Saya kini berada di Turki memenuhi undangan memberikan ucapan pada majlis pembukaan Persidangan Perintis Ketujuh Gabungan Wanita Global untuk Al-Quds dan Palestin.
“Persidangan ini akan berlangsung selama tiga hari bermula pada 27 Mei 2022, dan seterusnya saya akan ke Athens, Greece bagi memenuhi undangan Misi Perniagaan dan Pengembangan Pasaran Kayu Malaysia bersama Majlis Kayu Kayan Malaysia (Malaysian Timber Council).
“Insyallah saya akan kembali ke tanah air pada 2hb Jun 2022.Akhir kata, dengan rendah diri saya menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf di atas sebarang cacat cela dan kelemahan saya selama ini.
“Saya mendoakan yang terbaik dan semoga lakaran baru perjalanan politik saya ini mendapat sokongan semua lapisan masyarakat demi negara yang tercinta ini,” katanya.