Peter Anthony Disabit Bersalah Palsukan Dokumen

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony disabit bersalah atas pertuduhan memalsukan dokumen berhubung kontrak penyelenggaraan Sistem Mekanikal dan Elektrikal (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS), tujuh tahun lalu.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis mendapati Peter bersalah terhadap pertuduhan pindaan di bawah Seksen 468 Kanun Keseksaan.

Hakim, Azura Alwi berpuas hati pihak pembelaan gagal membuktikan kesnya melampaui tahap keraguan yang munasabah setelah meneliti keterangan saksi-saksi pembelaan dan hujahan kedua-dua pihak.

Azura berpendapat, tiada asas untuk meragui keterangan saksi-saksi pendakwaan dan tiada bukti bahawa pertuduhan terhadapnya adalah berasaskan politik seperti yang dikemukakan oleh pihak pembelaan.

Berdasarkan pertuduhan, Peter, 51, sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Engineering, didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014, dengan memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan untuk tujuan menipu.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014.