KKM Arah Dua Produk Mi Segera Ditarik Balik Dari Pasaran

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Hasil pemantauan dari 2022 sehingga kini ke atas 36 sampel produk mi segera pelbagai jenama di pasaran tempatan, didapati 11 sampel produk Mi Sedaap telah mengandungi ethylene oxide dan tindakan penguatkuasaan telah diambil.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, tindakan yang diambil termasuklah kompaun, tindakan mahkamah dan juga penarikan balik produk dari pasaran.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang bole mengancam kesihatan pengguna. Pengguna dinasihatkan tidak mengambil atau memakan produk terlibat,” tegas beliau dalam kenyataan pada Rabu.

Radzi berkata, KKM mengambil maklum laporan oleh Pihak Berkuasa Kesihatan Taiwan mengenai isu pencemaran ethylene oxide dalam produk Mi Kari Putih Penang Alai dari Malaysia dan Mi Segera jenama Indomie Perisa Ayam Spesial.

Jelas beliau, Ethylene oxide merupakan sebatian gas kimia yang karsinogenik dan sering digunakan untuk membunuh makhluk perosak seperti serangga. lanya juga digunakan sebagai bahan aktif dalam bahan pencuci tetapi tidak dibenarkan penggunaannya pada permukaan yang bersentuhan makanan.

“Bagi sampel Mi Kari Putih Penang Alai, persampelan di Malaysia mendapati hanya mematuhi perundangan. Meskipun begitu, bagi memastikan kawalan keselamatan makanan yang berterusan, KKM telah mengeluarkan arahan kepada pihak syarikat untuk penarikan balik secara sukarela produk Mi Kari Putih Penang Alai bagi batch berkaitan yang mempunyai tarikh luput 25 Ogos 2023 dari pasaran tempatan sekiranya ada.

“Berdasarkan semakan data dari Food Safety Information System of Malaysia, KKM juga mengesahkan bahawa terdapat kemasukan produk Mi Segera jenama Indomie Perisa Ayam Spesial keluaran negara Indonesia ke negara ini.

Dalam hal ini, KKM telah mengeluarkan arahan untuk tindakan Tahan, Uji dan Leas bagi produk Mi Segera jenama Indomie Perisa Ayam Spesial di semua pintu masuk negara dan meminta pihak syarikat menarik balik secara sukarela produk terlibat dari pasaran,” ujarnya.

Tambah beliau untuk makluman, lanjutan daripada isu penarikan semula produk Mi Sedaap keluaran negara Indonesia yang mengandungi Ethylene Oxide pada tahun 2022, KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan telah menjalankan pemantauan keselamatan makanan yang berterusan ke atas produk makanan berkaitan yang dijual di pasaran tempatan mahupun yang dimport.

“Sebarang maklumat atau kemusykilan berhubung isu ini, pengguna boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat, menyalurkan melalui laman web http://moh.spab.gov.my atau laman facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat