KUALA LUMPUR, – Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang juga bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) mencetuskan polemik politik baharu apabila tampil membuat analisis terbuka berhubung dakwaan ahli perniagaan kontroversi, Victor Chin berkaitan isu yang digelar sebagai “mafia korporat”.
Dalam satu video panjang di media sosial, Rafizi menghuraikan kekeliruan yang timbul dalam kalangan rakyat selepas Victor Chin mengedarkan dokumen setebal 40 muka surat yang memperincikan kronologi perebutan kepentingan korporat melibatkan syarikat NexG serta dakwaan penyalahgunaan institusi penguat kuasa oleh kumpulan tertentu.
Menurut Rafizi, walaupun dokumen tersebut mengandungi pelbagai dakwaan serius, perhatian media dan netizen lebih tertumpu kepada dua perkara sensasi iaitu identiti individu dikenali sebagai “Mr R” yang didakwa menjadi perantara kepada kumpulan tertentu serta dakwaan pembayaran wang tunai RM9.5 juta kepada seorang Ahli Parlimen PKR bagi menyelesaikan tekanan undang-undang yang dihadapi Victor Chin.
Beliau menegaskan bahawa dokumen tersebut tidak secara langsung menyatakan bahawa “Mr R” adalah individu yang sama dengan Ahli Parlimen PKR yang didakwa menerima wang tersebut. Namun katanya, kekeliruan berlaku apabila orang ramai membuat andaian sendiri kerana terdapat beberapa Ahli Parlimen PKR yang namanya bermula dengan huruf “R”.
Rafizi menyenaraikan antara nama yang disebut dalam spekulasi awam termasuk dirinya sendiri, Rodziah Ismail, R. Yuneswaran dan Datuk Seri R. Ramanan.
Katanya, beliau dan Rodziah telah menafikan penglibatan masing-masing sejak awal bagi mengelakkan kekeliruan, namun polemik menjadi semakin panas selepas Ramanan mengadakan sidang media khas di Sungai Buloh.
Dalam sidang media itu, Ramanan yang juga Menteri Sumber Manusia dan Naib Presiden PKR dilaporkan membidas Rafizi secara terbuka, termasuk menuduh beliau menggerakkan “cyber trooper” untuk mengaitkannya dengan identiti “Mr R”, selain menyifatkan Rafizi sebagai menteri yang gagal dan penakut.
Rafizi mendakwa reaksi emosional tersebut bukan sahaja tidak meredakan spekulasi awam, malah mengalihkan perhatian daripada persoalan lebih besar berkaitan dakwaan pembayaran wang RM9.5 juta kepada seorang Ahli Parlimen PKR.
Dalam analisis politik yang dianggap berani, beliau berkata sekiranya benar wujud Ahli Parlimen PKR yang mampu meyakinkan seorang ahli perniagaan menyerahkan wang sebanyak itu bagi tujuan “menyelesaikan masalah”, individu tersebut mestilah mempunyai pengaruh besar dalam parti serta akses rapat kepada Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri.
Beliau turut menyatakan bahawa individu berkenaan berkemungkinan mempunyai hubungan baik dengan tokoh tertentu yang dikaitkan dengan perebutan kepentingan korporat melibatkan NexG, sekali gus memberi gambaran kemampuan untuk menjadi perantara dalam konflik tersebut.
Rafizi juga mempersoalkan mengapa seorang ahli perniagaan sanggup menyerahkan wang tunai dalam jumlah besar jika tidak yakin bahawa individu yang didekati mempunyai pengaruh politik yang mencukupi untuk membantu menyelesaikan tekanan daripada agensi penguat kuasa.
Dalam masa sama, beliau memberi bayangan bahawa ultimatum Victor Chin untuk mendedahkan identiti ahli politik terbabit sekiranya wang tersebut tidak dipulangkan sebelum 30 Mac berpotensi mencetuskan perkembangan dramatik dalam landskap politik negara. — SuaraTV



