KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bachok Syahir Sulaiman membalas kritikan ADUN PKR Kota Anggerik Najwan Halimi berkait dakwaan ketidakyakinan terhadap Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang untuk dicalonkan sebagai Perdana Menteri ke-11 selepas era pemerintahan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Jelas Syahir, Hadi tidak pernah sesekali mengejar jawatan bahkan pernah menyatakan beliau lebih rela balik ke Terengganu menjadi nelayan.
“Bukan jawatan Perdana Menteri yang dikejar Presiden kami. Saya nasihatkan Najwan, rajinlah buat ‘homework’ sedikit.
“Yang pertama kemukakan cadangan ‘Kerajaan Teknokrat’ adalah Abdul Hadi sendiri, menjelang PRU 2018, ketika Malaysia berdepan ‘Kerajaan Kleptokrasi’. Saya sekadar ‘recycle’ cadangan Presiden Pas dahulu, ketika Malaysia berdepan ‘Kerajaan Kakistokrasi’ hari ini. Malah untuk rekod, ketika polemik jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) pada 2020, Abdul Hadi menjawab soalan wartawan, “Saya balik jadi nelayan pun takpe”. Jawapan ikhlas dari hati.
“Itulah Presiden parti kami. Presiden parti saudara, jauh berbeza dengan Presiden parti kami. Bukan jawatan Perdana Menteri yang dikejar Presiden kami,” bidas Syahir.
Mengulang kenyataanya, Syahir menyatakan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah merendahkan ‘standard’ seorang Perdana Menteri (lowered the bar) – bercakap kosong, berjanji manis, hasilnya tiada.
“Itu premis utama saya.
“Sila datangkan hujah jika Najwan berpandangan sebaliknya,” ujarnya.