PAS 69 Tahun: Jangan Hanyut Dalam Arus Kuasa

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Meraikan ulang tahun ke-69, PAS membongkar rahsia keutuhan parti Islam itu yang tidak rebah meskipun ditancap pelbagai cemuhan.

Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat, Dr Riduan Mohamad Nor berkata, jemaah PAS tidak akan mati terkejang nafas selagi mana bergerak di atas dasar, matlamat dan rujukannya.

Ujarnya, dalam tempoh yang panjang ini, PAS dilambung dengan jutaan ujian, bersilih ganti dan bertindan -tindih, namun ia masih merengkuh sokongan dan dokongan umat Islam.

“Di manakah rahsia kebugaran PAS sehingga mampu bertahan gagah mendepani segunung ujian yang datang, sedangkan puluhan parti dan gerakan politik lain telah ditalkinkan tanpa batu nisan?

“Rahsia kekuatan PAS adalah terletak di tangan ulama’ yang merencahi perjalanan panjang ini dengan batu tanda perjalanan yang benar. PAS tidak tersasar kerana pemanduannya memahami arah jalan, peraturan, permainan dan kemampuan membaca unjuran masa depan.

“PAS tanpa lelah memimpin ummah dengan keberkatan ulama’, kecerdasan profesional dan kerja keras para aktivis parti di semua peringkat,” katanya.

Riduan memberitahu, gerakan Islam tertua di negara ini yang mewarisi kejerihan Hizbul Muslimin ini berdada dengan kezaliman penguasa dalam tempoh yang panjang , kini berpeluang menjadi rakan kongsi dalam pemerintahan negara.

Katanya, PAS terus memugar kekuatan, membina kekuatan organisasi, merengkuh dokongan ummat dengan berteraskan tarbiah dan dakwah.

“PAS dengan nuansa dan citra perjuangan Islamnya telah berjaya menarik para agamawan dan para santri untuk mendokong parti tersebut.

“Parti ini kini berada di Putrajaya dan pos strategik pemerintahan, menguasai beberapa buah kerajaan negeri di Semenanjung serta mempunyai ADUN di negeri Sabah.

“Laungan dan pekikan takbir membesarkan Allah mengingatkan hati pendokong PAS untuk tabah mengharungi badai samudera yang menghempas, pemenjaraan, penistaan, intimidasi, pembantaian dan pengucilan yang menyelimuti anggota jamaah di sepanjang keberadaannya dalam pentas siasah dan dakwah ini,” katanya.

Beliau menitipkan ingatan kepada penyokong dan pendokong PAS tidak boleh hanyut dalam arus kuasa, kesilapan semasa memerintah akan memberi kesan fatal dan berpanjangan.

“Kini PAS adalah pilihan kepada kelompok kelas menengah muslim negara ini juga pilihan anak-anak muda berpendidikan.

“Era kepimpinan ulama’ telah menyaksikan keseriusan PAS dalam menangani pelbagai isu, memecah kepompong nasionalisme Melayu sebagai bertindak balas kepada dasar-dasar kerajaan yang tidak mesra syariah dan juga giat menubuhkan institusi pendidikan di bawah PAS sendiri, daripada pra sekolah sehinggalah kolej universiti,” kata Riduan.

Jelasnya, PAS dipilih oleh rakyat kerana mereka melihat contoh yang hidup di Kelantan, 30 tahun pemerintahan PAS, bermula era Tuan Guru Nik Aziz, Kelantan sifar rasuah dan berjaya menterjemah aspirasi Islam serta membumikan syariah secara berhikmah.

Tambah beliau, PAS juga menjadi pilihan kepada peserta kebangkitan Islam kerana wadah ini menawarkan kepada mereka ruang untuk pendidikan seumur hidup, kepimpinan ulama yang tidak jemu menabur bakti di ladang ilmu dan pencerahan.

“Kini harakatul ummah ini dengan usia 69 tahun, tertegak dengan tiga sendi laras iaitu siasah, dakwah dan tarbiah terus dipacu dengan jaya oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang juga antara ilmuan tersohor dunia Islam.

“Jamaah Islam ini juga beroperasi di medan massa dengan sinergi ulama, profesional dan aktivis, akan terus menjadi payung buat rakyat negara ini,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat