KUALA LUMPUR- Kerajaan menyangkal dakwaan Rang Undang-Undang (RUU) tahanan di rumah digubal untuk membebaskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahupun orang kenamaan (VVIP)
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, perbincangan bagi memulakan akta terbabit telah bermula seawal tahun lalu, selepas kerajaaan mahu melaksana peralihan pandangan daripada dasar prunitif kepada keadilan restoratif.
Fahmi menjelaskan, hasrat kerajaan adalah bagi memperkasa konsep keadilan untuk mengembalikan seseorang individu yang telah didapati bersalah kembali bersama komuniti.
“Kapasti penjara adalah sekitar 74,000 namun tahun lalu, terdapat 87,000 (banduan di penjara).
“Justeru, diadakan satu projek pilot di mana 5,000 telah menjalani proses yang boleh disebut sebagai rehabilitasi dalam komuniti. Ada di kalangan mereka dikenakan beberapa syarat kehadiran wajib dan ada beberapa dibebaskan awal.
“Kebanyakan di kalangan mereka yang mungkin disebut sebagai kes-kes tidak terlalu berat, tidak melibatkan pembunuhan. Niatnya untuk kita kurangkan kebarangkalian pelaku ini kembali ke penjara setelah dibebaskan,” katanya pada sidang media selepas pasca mesyuarat kabinet, di Putrajaya pada Jumaat.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2025 mengumumkan kerajaan akan menggubal akta baharu bagi membolehkan hukuman tahanan di rumah sebagai alternatif untuk kesalahan tertentu.
Pesalah dikehendaki berada di tempat tahanan bersesuaian iaitu rumah kediaman, rumah jagaan atau asrama pekerja sepanjang tempoh penahanan dengan syarat ditetapkan dan dipantau Pegawai Penjara.
Dalam pada itu, Fahmi Fadzil berkata, projek pilot itu dilihat memperoleh hasil positif apabila kajian membuktikan kadar residivism (melakukan jenayah berulang kali selepas bebas) telah turun sehingga ke 15 peratus.
Pada masa sama, jelasnya, Jabatan Penjara juga menikmati penjimatan sebanyak RM19 juta selepas projek tersebut dilaksana oleh Kementerian Dalam Negeri.
“Untuk pastikan tahanan di rumah dilaksana, maka satu akta khusus perlu digubal dengan mengambil kira undang-undang sedia ada dan juga takrifan mengenai beberapa aspek mengenai tahanan, ini telah dibincang dari tahun lalu dan niatnya adalah selaras dengan apa kita sebut keadilan restoratif.
“Tiada kaitan dengan mana-mana individu namun bila kita melihat ekosistem secara keseluruhan, kita perlu berganjak sesuai mengikut zaman, banyak negara mengamalkan keadilan restoratif dan kita juga ke arah itu.
“Dapatan awal kita juga mendapati banduan ini boleh diterima masyarakat apabila mereka menghabiskan sisa penahan mereka dalam komuniti, selain dapat membantu mengurangkan kos beban serta tekanan kepada sistem sosial negara apabila dapat mengawal kadar residivism,” katanya.