KUALA LUMPUR – Iskandar Malaysia telah mencatatkan pelaburan komited sebanyak RM40.3 bilion manakala pelaburan direalisasikan berjumlah RM22.5 bilion bagi tempoh Januari hingga September tahun 2024.
Menurut Perdana Menteri, perkara itu dimaklumkan sewaktu beliau mempengerusikan mesyuarat ke-33 Ahli Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), semalam.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mesyuarat juga telah membincangkan isu-isu berbangkit terkait hala tuju dan inisiatif yang telah digariskan bagi Iskandar Malaysia.
“Ini termasuklah Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang akan memberi anjakan kepada ekonomi negara.
“Mengambil contoh ikhtiar pewujudan Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia-Johor (Invest Malaysia Facilitation Centre Johor, IMFC-J), saya tekankan kepentingan keberkesanan pelaksanaan dari segi proses dan tempoh masa kelulusan sesuatu permohonan selaras dengan strategi Kerajaan dalam memudah cara perniagaan,” ujar Menteri Kewangan itu.
Dalam konteks Negeri Johor, Anwar berkata, pelbagai projek-projek baharu dan sambungan yang diumumkan melalui Belanjawan 2025 perlu disambut dengan pelaksanaan segera dan berkesan.
“Selain itu, Negeri Johor juga perlu memanfaatkan Kepengerusian ASEAN 2025 yang mana beberapa mesyuarat akan dianjurkan di negeri tersebut.
“Natijahnya, limpahan manfaat hanya akan dapat dirasai melalui perancangan dan perlaksanaan yang bersepadu dan berkesan,” kata Anwar.