KUALA LUMPUR – Sekiranya pendapatan rakyat meningkat, pada masa sama beberapa dasar sedia ada yang mengawal harga barang diteruskan kita dapat melihat mekanisme pasaran antara permintaan dan tawaran itu berjalan dengan lebih baik supaya kurang herotan dalam ekonomi negara dan akhirnya akan ada keseimbangan antara harga.
Demikian penjelasan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menjawab soalan tentang bagaimana kerajaan boleh menangani kenaikan harga barang selepas gaji progresif.
“Pandangan saya ialah kita perlu melihat keseluruhan isu kos sara hidup ini tidak semata-mata soal mengawal harga barang.
“Fokus kerajaan ialah meningkatkan pendapatan isi rumah melalui dasar gaji progresif serta beberapa program dan dasar tertentu,” katanya.
Jelas Rafizi, kita tidak boleh menggunakan kaedah lama kerana Malaysia telah pun mempunyai kawalan harga barang yang paling banyak di seluruh rantau Asia Tenggara.
Katanya, negara juga telah membelanjakan jumlah yang cukup besar untuk mengawal harga barang.
“Rakyat mungkin tidak sedar bagi setiap harga barang yang dikawal itu dia memerlukan peruntukan daripada duit cukai rakyat untuk dibayar kepada pembekal-pembekal.
“Kalau kita secara berterusan menggunakan kaedah ini kita masih lagi berdepan dengan cabaran untuk mengawal beban kos sara hidup,” ujar Rafizi.