Wan Saiful akui kumpul SD desak Hamzah ganti Muhyiddin tapi dakwa naratif diputar belit

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Tertinggi Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan mengesahkan terdapat usaha mengumpul akuan bersumpah (SD) daripada ketua bahagian menjelang perhimpunan agung tahunan (PAT) parti 9 Sept lalu.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu mendakwa, naratif itu “diputar belit” pihak tertentu untuk mencemarkan niat sebenar.

“Bahagian tentang pengumpulan SD adalah benar.

“Tetapi saya percaya pihak tertentu telah memutar belitkan cerita tentang niat sebenar dan apa yang ingin dicapai,” katanya menurut Malaysiakini.

Wan Saiful berkata, beliau dijadualkan menghadap Lembaga Disiplin tengah hari ini.

“Bukan seperti yang dimanipulasi sesetengah pihak dan ini akan diperjelaskan kepada Lembaga Disiplin. Saya akan jelaskan kepada Lembaga Disiplin.

“Saya rasa Lembaga Disiplin ini ada, saya pun tidak tahu siapa ahli Lembaga Disiplin. Harap di kalangan mereka (buat) pertimbangan yang rasional,” kata Wan Saiful.

Satu mesej tular WhatsApp mendakwa Wan Saiful dipanggil menghadap Lembaga Disiplin Bersatu hari ini di bawah Perkara 23 perlembagaan parti itu kerana didakwa mengumpul SD bagi mendesak Timbalan Presiden Datuk Seri Hamzah Zainudin menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin menerajui Bersatu.

Dilaporkan hanya beberapa jam sebelum ucapan dasar Muhyiddin pada PAT Bersatu, 122 daripada 169 ketua bahagian makan tengah hari 5km dari Pusat Konvensyen Ideal, tempat perhimpunan itu diadakan.

Muhyiddin kemudian mengakui dalam ucapan dasarnya, terdapat komplot mengumpul tandatangan untuk menggulingkannya.

Namun, PAT diakhiri dengan kedudukan Muhyiddin terjamin selepas perwakilan sebulat suara mengesahkan beliau sebagai calon perdana menteri parti itu.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat