Mat Sabu selar dunia Arab bergantung harap kepada AS, tak bela saudara seagama

KUALA LUMPUR – Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu mengkritik keras dunia Arab yang sepatutnya menjadi benteng utama umat Islam masih terus bergantung harap kepada Amerika Syarikat (AS) — ibarat menunggu sisik tumbuh pada ikan keli, sesuatu yang mustahil.

Tegas Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu, harapan sebegitu hanya melemahkan diri sendiri, sedangkan masa depan Palestin menuntut keberanian, kesatuan dan tindakan yang lebih tegas daripada saudara seagama mereka.

“Parti Amanah menyambut baik dan menyokong tindakan kerajaan Itali serta kerajaan Sepanyol yang menghantar kapal tentera laut bagi membantu misi flotilla kemanusiaan ke Gaza selepas serangan dron baru-baru ini.

“Langkah berani ini memperlihatkan bahawa di tengah-tengah keheningan dan kealpaan dunia, masih ada negara yang sanggup mengambil risiko demi memastikan bantuan sampai kepada rakyat Palestin yang terkepung.

“Itali dan Sepanyol telah membuktikan bahawa mereka bukan hanya terbatas kepada retorik kosong semata-mata, tetapi sanggup menunjukkan keberanian moral dengan tindakan nyata.

“Lebih malang, dunia Arab yang sepatutnya menjadi benteng utama umat Islam masih terus bergantung harap kepada Amerika,” bidas beliau.

Kata Mat Sabu lagi, Parti Amanah menegaskan bahawa Palestin adalah ujian moral kepada seluruh umat manusia.

“Mereka berhak hidup dengan aman, mendapat makanan, ubat-ubatan dan kebebasan daripada kepungan yang zalim. Justeru, tindakan Itali dan Sepanyol perlu menjadi inspirasi bahawa solidariti dengan Palestin tidak mengenal sempadan bangsa, agama, atau benua.

“Kami menyeru agar negara-negara lain, khususnya dunia Islam, jangan terus berlengah. Jangan hanya bergantung kepada kuasa besar yang jelas sekali lebih mementingkan kepentingan geopolitik mereka.

“Tampil dan bertindaklah dengan keberanian yang sama, kerana inilah masa untuk membuktikan bahawa kita benar-benar peduli terhadap nasib Palestin, bukan sekadar melaungkan slogan di pentas persidangan.

“Solidariti dengan Palestin adalah kewajipan bersama — dan sejarah akan mengingat siapa yang benar-benar berdiri mempertahankan keadilan, dan siapa yang sekadar menunggu sisik tumbuh pada ikan keli,” tempelak beliau lagi.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat