Penangan 12 juta penonton

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Drama rantaian 7 Hari Mencintaiku 2 yang melabuhkan tirai, baru-baru ini, mencatat kejayaan membanggakan apabila menarik 12 juta penonton sepanjang tayangan 33 episod, mengikut sumber Nielsen 2020 dikeluarkan TV3.

Malah, episod akhir drama yang mengisi slot Akasia itu, meraih lima juta tontonan ketika disiarkan pada 17 Ogos lalu, menyamai rekod siri pertama drama berkenaan sebanyak 28 episod pada 2016.

Merakam kejayaan peribadi buat penerbit, Siti Rosmizah Semail, pencapaian drama yang menggandingkan Shukri Yahaya dan Siti Saleha selaku pelakon utama itu membuktikan penonton dahagakan drama kekeluargaan yang mampu membawa kesedaran.

“Di sebalik kecaman terutama membabitkan watak Mak Leha (lakonan Liza Abdullah), saya mendapat komen yang menyatakan drama ini menyalurkan mesej yang sangat berguna kepada penonton.

“Walaupun mereka tidak suka dengan karakter ibu mentua seperti Mak Leha, namun, mereka akur watak begitu wujud dalam masyarakat.

“Berdasarkan komen diberi, saya percaya penonton mahukan perubahan dalam drama kita. Saya sarankan kepada stesen televisyen (TV) supaya mengambil lebih banyak drama genre begini kerana cerita seperti inilah yang penonton mahu.

TV3 mengumumkan drama rantaian 7 Hari Mencintaiku yang menampilkan lakonan Siti Saleha dan Shukri Yahaya merekodkan 12 juta penonton sepanjang tayangan 33 episod. Foto Ihsan TV3
TV3 mengumumkan drama rantaian 7 Hari Mencintaiku yang menampilkan lakonan Siti Saleha dan Shukri Yahaya merekodkan 12 juta penonton sepanjang tayangan 33 episod. Foto Ihsan TV3

“Selama ini, kita asyik berkiblatkan drama Korea yang bersifat cinta fantasi. Kita kena buka minda dan terima hakikat bahawa kisah masyarakat lebih dekat dengan hati penonton,” katanya kepada BH Online.

Walaupun angka 12 juta penonton boleh dianggap cukup membanggakan untuk sebuah produksi tempatan, namun, Siti

Rosmizah yakin drama terbabit boleh mencatat jumlah lebih tinggi jika tayangan di YouTube diambil kira.

“Sejujurnya, saya sudah boleh jangka drama ini bakal mendapat sambutan menggalakkan sekali gus mencatat rating tinggi.

“Jumlah 12 juta penonton hanyalah untuk tontonan di TV. Ia tidak termasuk tontonan di YouTube kerana drama terbabit ditayangkan di aplikasi mudah alih iQIYI.

“Jika jumlah tontonan di YouTube diambilkira, kami yakin drama terbabit mampu mencatat rating lebih 20 juta berdasarkan rating sekitar 800,000 setiap episod yang pernah diraih.

“Malah, kita pernah meraih sehingga 1.7 juta tontonan. Hendak buat macam mana, bukan rezeki kami,” katanya.

Mengenai kemungkinan drama terbabit disambung, Siti Rosmizah berkata, perkara itu sudah dibincangkan dengan TV3.

“TV3 meminta saya menyambung musim ketiga. Jalan cerita sudah saya siapkan tanpa tekanan. Cuma saya perlukan masa untuk menulis skrip.

“Mengikut perbincangan awal, projek ini akan mula digerakkan pada 2022,” katanya.

Tambah Siti Rosmizah, berdasarkan perbincangan, drama 7 Hari Mencintaiku mungkin akan diangkat ke layar perak.

“Bagaimanapun, itu semua bergantung kepada situasi semasa dan perkembangan wabak COVID-19. Jika tidak, kita kekal dengan drama sahaja.

“Setakat ini, watak utama dalam drama ini dikekalkan. Cuma, kita akan buat perubahan sedikit iaitu memperkenalkan karakter baharu.

“Jika sebelum ini, saya lancarkan novel terlebih dahulu disusuli drama, kali ini, mungkin kita ubah. Kita tayang drama dahulu sebelum lancarkan novel.

“Ini untuk mengelak berlakunya ‘spoiler’. Ini boleh buat penonton geram sebab mereka tidak tahu apa yang bakal berlaku dalam drama terbabit,” katanya yang bertindak sebagai penulis skrip dan penulis novel drama popular itu.

Sementara itu, sebagai antara pemegang watak utama, Siti Saleha mengaku agak skeptikal apabila diberitahu drama lakonannya bakal disambung untuk musim kedua.

“Apabila dibikin musim kedua, kebanyakan yang memegang watak utama sebelum ini tertanya-tanya, perlukah ada sambungan. Penamat untuk musim pertama dilihat sudah cukup cantik dan berjaya mencetuskan fenomena.

“Namun, saya percaya dengan karya Kak Siti. Semua pelakon bersetuju untuk kembali ke set drama ini. Cuma apabila terdengar ura-ura mengatakan drama ini bakal disambung, saya hendak tahu juga bagaimana plot dan bentuk karakter Mia Adriana.

“Sebelum ini, saya ada berbincang dengan penerbit mengenai pembentukan karakter Mia,” katanya.

Siti Saleha berharap, jika musim ketiga drama Tujuh Hari Mencintaiku diterbitkan, wataknya tidak statik.

“Saya harap karakter saya tidak statik dan impaknya sama dengan musim lalu. Biar apapun, saya yakin, Kak Siti cukup bijak untuk mengolah kerana beliau yang mencipta watak-watak ini,” kata aktres berusia 30 tahun ini.

Mengulas kejayaan drama ini berbekalkan nilai kekeluargaan dan bukan cinta fantasi ala Kpop, Siti Saleha berkata, penerbit perlu seimbang dalam menghasilkan drama.

“Tidak salah kalau hendak tengok drama fantasi cinta walaupun ada pelakonnya hanya bersandarkan kepada paras rupa semata-mata… Itu cerita masing-masing.

“Namun, kita juga harus ada rasa tanggungjawab untuk menghasilkan drama berunsur pengajaran,” katanya.

Siti Saleha berkongsi kisah seorang teman yang baru menghadiri kursus perkahwinan.

“Teman ini beritahu, ustaz yang mengajarnya banyak memberikan contoh kehidupan alam berumah tangga berdasarkan drama yang ditayangkan.

“Justeru, saya harap, setiap drama ada pengajaran, bukannya hiburan kosong semata-mata,” katanya.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat