KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) mahu kerusi Parlimen Alor Setar kekal ditandingi PKR pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, selepas Barisan Nasional (BN) Kedah berhasrat untuk bertanding di kawasan sama.
Ketua AMK Alor Setar, Tan Jin Hao, berkata BN harus sedar bahawa prestasi calon PKR adalah lebih baik berdasarkan keputusan PRU15, malah Chan Ming Kai yang mewakili PKR berjaya menang di Parlimen Alor Setar pada PRU14.
Beliau menjelaskan, BN Kedah juga harus melihat bagaimana berlakunya penolakan rakyat, termasuk penyokong parti itu sendiri yang memberi sokongan kepada calon Perikatan Nasional (PN), sebelum berhasrat untuk bertanding di Parlimen Alor Setar pada PRU akan datang.
“AMK Alor Setar mengambil perhatian akan kenyataan yang dikeluarkan Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkaitan permintaan agar kerusi Parlimen Alor Setar diberikan kembali kepada BN untuk ditandingi pada PRU16.
“AMK Alor Setar melihat perkara ini dari situasi hari ini, Parlimen Alor Setar patut menjadi kerusi kekal bagi PKR kerana keputusan PRU-15 menunjukkan kita mendapat undi kedua tertinggi, iaitu 27,555, berbanding BN hanya 8,930 undi,” katanya.
Bahkan pada PRU14, Jin Hao berkata, PKR memenangi kerusi Parlimen Alor Setar apabila meraih 32,475 undi, manakala BN pula berada di kedudukan ketiga dengan 14,181 undi saja.
“Untuk makluman Mahdzir juga, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu, telah berlaku perbincangan rundingan kerusi antara BN dengan Pakatan Harapan (PH) dan kita sepakat untuk memberi kelebihan kepada BN yang bertanding di 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
“PH pula mendapat 18 kerusi yang perlu dibahagikan kepada tiga parti komponen, iaitu PKR, AMANAH dan DAP. Keputusan PRN menunjukkan BN tewas di kesemua 18 kerusi DUN ditandinginya, sebaliknya PH berjaya memenangi tiga kerusi,” lapor BH di Alor Setar pada Khamis.
Beliau berkata, keputusan PRN itu menyebabkan tiga calon PH terbabit kini menjadi suara wakil pembangkang tanpa BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah ketika ini.
“BN Kedah seharusnya bermuhasabah diri dan melakukan ‘post-mortem’ untuk melihat penolakan rakyat Kedah sendiri terhadap calon parti itu pada PRU dan PRN lalu.
“Bukan itu saja, penyokong BN juga beralih arah memberi sokongan undi kepada calon PN sehingga ia sudah menjadi satu fenomena politik pada waktu semasa ini,” katanya.
Sabtu lalu, Mahdzir pada Mesyuarat UMNO Alor Setar, memaklumkan terdapat usul diluluskan supaya kerusi Parlimen Alor Setar dan satu kerusi DUN di kawasan itu ditandingi parti berkenaan bagi memperkukuh kedudukan BN di Kedah.
Pada PRU15, PN melalui calonnya, Afnan Hamimi Taib Azamudden, melakukan kejutan apabila berjaya merampas kerusi Parlimen Alor Setar dengan majoriti 9,931 undi apabila menewaskan calon PKR, Simon Ooi Tze Min, dan Tan Chee Hiong yang mewakili BN.