KUALA LUMPUR – Kerajaan menyasarkan untuk menurunkan hutang secara berperingkat agar tidak menjejaskan projek-projek bantu rakyat dan pembangunan yang sedia dijalankan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil memperincikan butiran hutang negara yang menjadi perdebatan mutakhir ini.
Beliau yang juga Menteri Kewangan menegaskan, tidak benar mengatakan bahawa dasar kewangan fiskal belanjawan itu nampak mengekang dan tidak memenuhi apa yang kita janjikan.
“Sekali lagi hiruk pikuk beberapa minggu yang lalu ini mengenai hutang negara. Seolah-olah kita tidak beri kenyataan yang benar dan telah memungkiri janji kita untuk menurunkan hutang.
“Saya lihat dalam media sosial, kita diserang tetapi fakta itu tidak benar.
“Saya telah jelaskan bahawa ada hutang yang kita warisi yang mencecah lebih RM1 trilion malah RM1.5 trilion dan memang komitmen kita untuk mengurangkan hutang dan ini kita lakukan umpamanya pada tahun 2021, 2022, kita berhutang dari luar dan dalam RM100 bilion
Tahun 2022, RM100 bilion.
“Pada tahun 2023, kita beritahu keadaan tidak boleh kita pertahankan dengan hutang yang berlonggok dan bertambah.
“Maka, kita turunkan maknanya kurangkan hutang ke RM93 bilion dari RM100 bilion tahun sebelumnya,” katanya.
Manakala kata Anwar, pada tahun 2024, RM86 bilion maknanya berkurangan lah, dari RM100 bilion ke 93 ke 86 bilion.
“Kita ditanya mengapa tidak boleh terus batalkan semua hutang? Kerana ia akan menjejaskan projek-projek bantu rakyat, sekolah baru atau universiti dan pembangunan termasuk tanggungan kita membayar hutang-hutang lama.
“Kita tanggungan hutang itu tinggi sekarang ini 64 peratus daripada KDNK.
“Ini jumlah yang memang melebihi daripada apa yang kita rasakan membantu untuk menambat keyakinan pelabur asing atau domestik,” jelas Menteri Kewangan itu lagi.
Ujar Anwar, sasaran kerajaan adalah untuk menurunkan hutang secara berperingkat menurun kepada sekurang-kurangnya 60 peratus.
dan ini ada kaitan dengan defisit.
“Dulu, defisit belanjawan maknanya pendapatan kurang belanja lebih. Jadi dulu, mencecah sehingga 6.0 peratus, kemudian apabila kita ambil alih jadi 5.6 peratus pada 2022.
“Manakala tahun 2023, turun kepada 5.0 peratus. Baik, untuk defisit maknanya pendapatan kurang belanja lebih, ini kita warisi
sama macam berhutang kalau kita turun secara agak mengejut, drastik dia mengesankan dari segi projek-projek yang sedia dijalankan, projek-projek membantu rakyat dan juga projek-projek pembangunan.
“Maka sebab itu, kita turun secara berperingkat dari 5.6 peratus defisit kepada 5.0 peratus tahun 2023.
“Pada tahun ini kita turunkan lagi unjurannya 4.3 peratus, ini yang kita lakukan.
“Tidak benar mengatakan bahawa dasar kewangan fiskal belanjawan itu nampak mengekang dan tidak memenuhi apa yang kita janjikan.
“Tetapi diuar-uarkan itu sebahagiannya tidak berdasarkan fakta, sebahagiannya itu hanya lontaran politik yang tidak bertanggungjawab.
“Saya berikan angka-angka ini dan angka-angka ini dipertahankan dari sudut kebenarannya dan Kementerian Kewangan dari semasa ke semasa memang mengeluarkan data-data ini bersama dengan Jabatan Statistik Negara,” jelas Anwar dalam video yang dimuat naik.