KUALA LUMPUR – Lynas Malaysia menjangkakan masa depan yang menarik di Malaysia apabila loji nadir bumi syarikat itu telah mendapat kelulusan untuk beroperasi dengan sokongan penuh daripada kerajaan.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lynas Corporation Ltd (Lynas), Amanda Lacaze, berkata masa depan syarikat itu kelihatan lebih terjamin di Malaysia selepas berjaya mengangi beberapa cabaran politik yang dihadapi oleh Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) di Gebeng, dekat sini sebelum ini.
“Kami melihat masa depan dengan penuh semangat. Saya merasakan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) benar-benar memahami kepentingan nadir bumi pada abad ke-21…. dalam kenderaan elektrik, turbin angin dan bahan api tenaga baharu.
“Terdapat peluang di Malaysia untuk membangunkan sumber huluan dan juga ke arah membangunkan keupayaan hiliran…kerajaan ini sangat fokus untuk melakukan kedua-duanya kerana ia akan menyumbang kepada kesejahteraan ekonomi semua rakyat Malaysia dan Lynas adalah bahagian penting daripada itu.
“Lynas cukup yakin bahawa kami mempunyai masa depan yang sangat ‘cerah’ di Malaysia, terutamanya selepas perkara lain menjadi lebih jelas sekarang, terutamanya lesen kami, ” katanya kepada pemberita selepas merasmikan kerjasama 10 tahun Lynas Malaysia bersama perniagaan Malaysia pada Hari Penghargaan Vendor 2024 di Kuantan, lapor BH pada Khamis.
Sementara itu, Lacaze berkata sejak beroperasi di Malaysia kira-kira 10 tahun lalu, Lynas menghadapi cabaran baharu setiap tahun dan tiada satu pun daripadanya adalah cabaran yang kecil.
“Pada peringkat awal, Lynas menjadi sedikit seperti permainan politik (di Malaysia), menghadapi cabaran pada masa yang berbeza kitaran politik. Akhirnya, tahun lalu saya merasakan kami mendapat penyelesaian kepada banyak perkara yang tidak pasti untuk sekian lama.
“Saya telah bertemu Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dua kali sejak sembilan bulan lalu dan terdapat kemajuan positif kerana kerajaan kini memahami bahawa (nadir bumi) ini bukan mengenai politik tetap pembangunan ekonomi. Nadir bumi sebagai industri menawarkan banyak peluang kepada pembangunan ekonomi Malaysia.
“Malaysia menerajui industri ini kerana Lynas berada di sini dan kami satu-satunya pengeluar nadir bumi terpisah yang besar di luar China, yang membolehkan Malaysia mempunyai kedudukan yang bermakna di persada dunia. Kami kini mempunyai jalan ke hadapan yang jelas dengan sokongan kerajaan dan berkeyakinan besar untuk melabur di Malaysia,” katanya.
Tahun lalu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang, berkata Lynas dibenarkan beroperasi dengan terma baharu dibenarkan sehingga Mac 2026.
Mengenai kilang LAMP di Kuantan, Lacaze berkata Lynas telah melabur RM500 juta untuk memperluaskan kemudahan di Gebeng itu yang akan selesai menjelang akhir tahun ini.
“Apabila siap, ia akan membantu meningkatkan kapasiti kami, pengasingan nadir bumi berat, melaksanakan beberapa penambahbaikan kepada loji sedia ada, meningkatkan keselamatan dan beroperasi dengan cekap,” katanya sambil menambah Lynas Malaysia menggaji lebih 850 pekerja dengan 98 peratus adalah warga tempatan.
Lacaze berkata, lebih 80 peratus daripada pembekal Lynas Malaysia berpangkalan di negara ini dan acara Hari Penghargaan Vendor menonjolkan komitmen syarikat itu untuk melabur dalam ekonomi Malaysia, dan kemahiran masyarakat setempat.