Tiada Apa Rakyat Kedah Dapat Daripada Sanusi, BN Dan PH Lancar Manifesto Khamis Ini Santuni Semua Golongan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Manifesto Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) Kedah akan dilancarkan Khamis ini yang akan menyantuni semua golongan termasuk nelayan, pesawah, penoreh getah, perindustrian, pelancongan, belia serta wanita itu diyakini mampu membawa kestabilan dan kesejahteraan rakyat.

Pengerusi Majlis Pimpinan Perpaduan Negeri Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, sepanjang tiga tahun negeri itu ditadbir PAS di bawah pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tiada pembangunan dibawa selain mengata orang lain.

“Ada banyak perkara yang akan dibentangkan dalam manifesto itu. Manifesto tersebut akan menyentuh mengenai perkara-perkara yang mampu memberi kebaikan kepada rakyat secara menyeluruh kerana kerajaan negeri ketika ini bukan saja gagal, malah tak buat apa-apa pun.

“Apa yang beliau (Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor) buat selain mengata orang lain? Kalau nak jadi pemimpin, anda kena serius kerana antara kepimpinan negeri dengan rakyat, di tengah-tengahnya ada pegawai kerajaan yang bertanggungjawab melaksanakan program demi pembangunan negeri.

“Tetapi kalau anda tak serius selain tidak memiliki inovasi serta kreativiti, apa yang pegawai kerajaan nak laksanakan? Sebab itu ketika ini, tak ada apa yang rakyat dapat walaupun sudah tiga tahun mereka memerintah,” bidas Mahdzir dalam kenyataan media pada Selasa.

Menurut beliau, majlis pelancaran manifesto itu akan diadakan di tapak letak kereta, Bandar Laguna Merbok bermula jam 9 malam.

Tambah Mahdzir, pada majlis itu setiap calon BN dan PH akan berada di pentas yang sama untuk diperkenalkan kepada umum.

“Ketika ini segalanya berjalan lancar buat kami. Kami juga bersetuju untuk melaksanakan jelajah kepimpinan sepanjang tempoh berkempen dan satu jawatankuasa melibatkan kedua-dua gabungan akan ditubuhkan untuk menyelaras siri jelajah tersebut.

“Jawatankuasa itu akan menyelaras kedatangan pemimpin-pemimpin Pusat ke Kedah dan menentukan lokasi terbaik untuk mereka berkempen. Maklumat lanjut mengenai perkara itu akan kita umumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat