KUALA LUMPUR -Syarikat Infineon Technologies semalam menerima Pas Pelabur Strategik dan Pekerja Nomad Digital dalam sektor pembuatan daripada Perdana Menteri dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemberian pas itu bertujuan menyemarakkan kemasukan pelaburan berkualiti dan mobiliti profesional digital dalam negara.
“Seperti yang saya tekankan sebelum ini, kerajaan serius untuk terus menambah baik dan memperkasa ekosistem serta landskap pelaburan negara bagi mengekal dan menggalakkan lagi pelaburan langsung asing.
“Hari ini (semalam), saya bersama Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, telah menyampaikan Pas Pelabur Strategik dan Pekerja Nomad Digital dalam sektor pembuatan dengan hasrat menyemarakkan kemasukan pelaburan berkualiti dan mobiliti profesional digital dalam negara.
“Terima kasih atas koordinasi yang baik antara MITI, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Komunikasi dan Digital, Jabatan Imigresen Malaysia, Malaysia Investment Development Authority (MIDA), Talent Corporation, dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC).
“Semoga ekonomi Malaysia terus makmur dan mapan,” kata Perdana Menteri sambil menyeru “Invest in Malaysia, Invest in the Future”.
Sementara itu Tengku Zafrul memberitahu, beliau dan Perdana Menteri telah berjumpa wakil syarikat Infineon Technologies yang ingin mengembangkan pelaburan mereka di Kulim dan Melaka.
Kata beliau,Infineon merupakan sebuah syarikat semikonduktor global berasal dari Jerman yang sudah bertapak di Malaysia sejak lebih 50 tahun.
“Minat mereka untuk terus melabur di negara kita mencerminkan keupayaan ekonomi Malaysia yang berdaya tahan,” ujarnya.