KUALA LUMPUR- Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan teragak-agak untuk membuat rombakan kecil Kabinet sekiranya Indeks Daya Saing Dunia (IMD) negara pada tahun depan mencatatkan kedudukan tidak memuaskan.
Perdana Menteri berkata, antara salah satu kritikan utama dalam laporan terbabit adalah Malaysia gagal atau kurang mengambil langkah-langkah tidak popular (unpopular Measures), tetapi kerajaan melakukannya seperti melaksanakan penyasaran subsidi sebagai langkah menjimatkan berbilion ringgit.
“Namun, kerajaan akan berbuat demikian dan saya fikir ia dengan sendirinya menyelesaikan kritikan kedua terhadap prestasi ekonomi negara.
“Insya-Allah saya harap tahun depan ia akan mencatatkan laporan yang lebih baik.
“Jika tidak, saya terpaksa membuat beberapa rombakan kecil dalam Kabinet. Hanya (itu) cara untuk menyelamatkan Perdana Menteri,” katanya secara berseloroh lapor BH pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Tengahari Dewan Perniagaan Amerika Syarikat dan Malaysia (AMCHAM).