KPDN laksana 9 pelan banteras penyeludupan diesel, kawalan di pintu masuk negara diperhebat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Sembilan pelan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam membanteras jenayah penyeludupan diesel.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata kementerian sudah menguatkuasa Pelaksanaan Arahan Pengawal Bekalan bagi Larangan Penjualan Petrol RON95 dan Diesel kepada Kenderaan Asing di Stesen Minyak di Sempadan.

Kedua, katanya, KPDN juga mempergiatkan lagi tindakan melalui OPS TIRIS yang dilaksanakan sejak 1 Mac lalu, yang memfokuskan usaha membanteras penyelewengan minyak diesel bersubsidi.

“Ketiga, mengawal selia operasi stesen-stesen minyak di negeri bersempadan melalui pelaksanaan Buku Lawatan dan Peti Lawatan yang sudah dimula sejak 2021.

“Keempat, menempatkan pegawai secara statik di stesen minyak terpilih untuk mengekang salah laku.

“Kelima, penguatkuasaan holistik dan bersepadu membabitkan agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerakan Am, Pasukan Polis Marin, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan Datuk Abdul Khalib Abdullah (PN-Rompin).

Beliau berkata, pelan keenam, penguat kuasa KPDN ditugaskan di lapan pintu masuk sempadan di Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan.

“Ketujuh, kita juga mengesyorkan tindakan penggantungan dan pembatalan lesen CSA stesen minyak yang terbabit dengan aktiviti penyelewengan petrol dan diesel.

“Kelapan, tindakan undang-undang di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001 (AMLA) dilaksanakan kepada pihak yang terbabit dengan aktiviti penyelewengan khasnya barang kawalan bersubsidi,” katanya.

Pelan terakhir, beliau berkata, KPDN turut melaksanakan larangan eksport bagi barang bersubsidi diesel termasuk barang-barang lain seperti tepung gandum, gas petroleum cecair, Petrol RON95 serta minyak masak sawit tulen polibeg bagi mengekang ketirisan barang bersubsidi di sempadan negara.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat