CEO syarikat antara lapan individu ditahan reman kes rasuah RM1.6 bilion

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Lapan individu termasuk seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) dan dua pengurusan tertinggi syarikat konsesi lebuh raya direman selepas disyaki meminta serta menerima rasuah bernilai lebih RM1.6 bilion membabitkan pembinaan dua projek lebuh raya di Lembah Klang.

CEO bergelar Datuk bersama dua pengurusan tertinggi syarikat konsesi itu direman empat hari sehingga Jumaat ini manakala lima lagi individu yang juga pemilik sebuah syarikat direman selama tiga hari sehingga Khamis ini.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Menurut sumber, tiga suspek daripada syarikat konsesi berkenaan membabitkan dua lelaki dan seorang wanita, manakala pemilik syarikat itu pula membabitkan lima lelaki yang semuanya berusia sekitar 40 hingga 50-an.

Mereka ditahan menerusi Ops Lintas antara jam 8 hingga 11 malam tadi ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.

“Tiga suspek yang berkhidmat di syarikat konsesi lebuh raya ini disyaki meminta dan menerima rasuah daripada pemilik syarikat berkenaan sebagai balasan bagi mendapat kontrak mengambil alih kerja pembinaan yang sebelum ini dijalankan satu syarikat lain bernilai lebih RM1 bilion.

“Selain itu, mereka juga dipercayai meminta dan menerima rasuah membabitkan pembinaan satu seksyen projek lebuh raya lain di Lembah Klang bernilai lebih kurang RM670 juta. Keseluruhan nilai kedua-dua projek itu adalah berjumlah RM 11 bilion,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaha mengesahkan penahanan semua suspek.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a) (A) Akta SPRM 2009. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat