Cyberjaya, 25 APRIL 2025 – Bandaraya Miri bakal mencuri tumpuan apabila dua konsert mega akan berlangsung sepanjang bulan Mei ini, menjanjikan pengalaman hiburan luar biasa yang menggabungkan irama kontemporari dan budaya tempatan. Apa yang lebih menarik, kedua-dua konsert ini boleh disaksikan secara percuma, membuka peluang kepada seluruh rakyat menikmati persembahan bertaraf nasional tanpa sebarang bayaran.
Konsert pertama yang diberi nama Konsert MeleTOP TVS dijadualkan berlangsung pada 17 Mei 2025 bertempat di Stadium Tertutup Miri. Dihasilkan melalui kerjasama unik antara TVS dan Astro, serta dibawakan oleh U Mobile, konsert ini bukan sahaja menyajikan barisan artis ternama seperti Dayang Nurfaizah, Hael Husaini, Stacy, Dolla, Floor 88 dan Namie, malah turut menjadi pentas bersejarah apabila rancangan hiburan popular MeleTOP bakal dirakam buat kali pertama di luar Lembah Klang. Rakaman khas MeleTOP akan diteruskan pada keesokan harinya, 18 Mei 2025, turut berlangsung di lokasi yang sama. Persembahan malam tersebut akan disiarkan secara langsung melalui saluran TVS, Astro ONE dan Sooka, membolehkan penonton di seluruh negara turut sama merasai kehangatan suasana.
Tidak cukup dengan satu, Miri akan sekali lagi bergema pada 21 Mei 2025 menerusi Konsert Berkat Gawai-Kaamatan, sebuah acara yang meraikan warisan dan keunikan budaya masyarakat Sarawak, Sabah dan Kalimantan. Konsert ini akan menampilkan legenda rock tanah air, Ella, sebagai penyanyi utama bersama artis-artis berbakat dari Malaysia Timur termasuk Bob Yusof, Velvet Aduk, Ramles Walter, Dabra Sia, Roxy Ixzy, SMDX dan artis jemputan dari Kalimantan, Marina Jara. Konsert yang bermula pada jam 7:30 malam ini turut akan disiarkan pada 31 Mei 2025 menerusi TVS, memberi peluang kepada mereka yang tidak dapat hadir secara fizikal untuk tetap menikmati persembahan memukau tersebut dari rumah.
Penganjuran dua konsert ini mencerminkan usaha berterusan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif & Seni Persembahan Sarawak dalam menyokong pembangunan industri kreatif di negeri ini. Menteri bertanggungjawab, YB Dato’ Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, menyifatkan penganjuran berskala besar seperti ini sebagai satu kejayaan besar dan bukti keyakinan terhadap potensi bakat tempatan dan daya tarikan Sarawak sebagai destinasi hiburan. Malah, dengan ulang tahun ke-20 Miri sebagai bandaraya yang semakin hampir, konsert ini dilihat tepat pada masanya untuk meraikan pencapaian bandar ini sebagai nadi ekonomi dan kebudayaan di utara Sarawak.
Menurut Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif TVS, Mohamad Sardon Zainal, Miri dipilih kerana kedudukannya yang strategik – bersempadan dengan Brunei dan berdekatan dengan Sabah serta Kalimantan. Ini bukan sahaja memudahkan kehadiran pengunjung dari luar negara, tetapi juga menjadikan Miri sebagai lokasi yang sesuai untuk mencipta pengalaman berskala serantau. Tambah beliau lagi, penganjuran dua konsert ini membuka ruang besar kepada artis-artis tempatan untuk tampil di pentas bersama nama-nama besar industri, sekaligus merapatkan jurang antara bakat Borneo dan pentas arus perdana.
Sambutan yang dijangka luar biasa ini turut memberi limpahan rezeki kepada para peniaga tempatan, pengusaha hotel, serta penyedia perkhidmatan pengangkutan. Kehadiran pelancong dari dalam dan luar negara dijangka merancakkan lagi sektor pelancongan domestik, menjadikan konsert ini bukan sekadar acara hiburan, tetapi juga pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi Miri.
Mereka yang berminat untuk hadir dinasihatkan untuk mendapatkan tiket percuma di laman rasmi TVS di tvsarawak.my/kejutan-tvs, memandangkan tempat adalah terhad. Dengan penganjuran dua malam epik yang menyatukan muzik, budaya dan rakyat dari pelbagai latar belakang, Miri kini bersedia untuk mengukir sejarah sebagai pusat hiburan baharu di Borneo.