Ramanan dakwa Victor Chin cipta naratif kotor untuk dapat suaka politik di UK

SUNGAI BULOH, – Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk Seri R. Ramanan hari ini secara terbuka mendedahkan apa yang disifatkannya sebagai strategi kotor seorang ahli perniagaan yang dikaitkan dengan isu mafia korporat, Victor Chin, bagi mendapatkan suaka politik di United Kingdom dengan menggambarkan dirinya sebagai mangsa.

Pada sidang media di sini, Menteri Sumber Manusia itu berkata, Victor Chin yang kini berada di luar negara didakwa sengaja mencipta pelbagai naratif untuk mencemarkan imej Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ahli Parlimen parti itu serta Kerajaan Madani.

Menurutnya, tindakan menyalahkan pelbagai agensi penguat kuasa termasuk Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara Malaysia dan pihak polis adalah sebahagian daripada strategi untuk mewujudkan persepsi bahawa beliau dizalimi.

“Semua itu adalah strategi bagi menunjukkan kononnya dia mangsa supaya boleh mendapatkan suaka politik di United Kingdom. Kalau tidak membuat kesalahan, pulanglah untuk disiasat. Jangan duduk di luar negara membuat tuduhan liar untuk memburukkan orang,” katanya.

Ramanan berkata demikian sebagai mengulas dakwaan dalam satu dokumen setebal 40 muka surat yang diedarkan semalam oleh Victor Chin, yang mendakwa seorang Ahli Parlimen PKR meminta beliau menyediakan wang tunai RM10 juta bagi menyelesaikan masalah dihadapinya.

Ahli perniagaan berkenaan mendakwa telah membayar RM9.5 juta kepada Ahli Parlimen tersebut pada 18 Oktober tahun lalu dan mengancam akan mendedahkan identiti ahli politik itu sekiranya wang berkenaan tidak dipulangkan sebelum 30 Mac.

Banyak pihak menunding kepada Ramanan berikutan Victor menggunakan gelaran Mr R.

Ramanan turut mempersoalkan motif sebenar tuduhan tersebut dan sama ada ia bertujuan menjatuhkan kerajaan melalui penyebaran dakwaan yang disifatkannya sebagai tidak berasas.

“Victor Chin sebelum ini kata polis memburunya, kemudian Bank Negara Malaysia, dan kini mendakwa seorang Ahli Parlimen PKR pula terlibat. Setiap hari ceritanya berbeza,” katanya.

Dalam sidang media itu, beliau turut menunjukkan beberapa gambar Victor Chin bersama individu tertentu serta menyebut nama beberapa syarikat yang didakwa menjadi mangsa tindakan ahli perniagaan berkenaan.

Ramanan bagaimanapun menegaskan bahawa Victor Chin tidak layak dilabel sebagai mafia korporat, sebaliknya menyifatkan beliau sebagai “syaitan korporat” yang didakwa tidak mempunyai belas ihsan terhadap mangsa manipulasi saham.

Katanya, terdapat ribuan individu yang kehilangan simpanan akibat manipulasi pasaran saham yang didakwa melibatkan ahli perniagaan tersebut.

Beliau juga memaklumkan telah mengarahkan ahli PKR khususnya di Sungai Buloh supaya membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan secara menyeluruh oleh pihak berkuasa.

Menurutnya lagi, terdapat ramai individu yang mempunyai waran tangkap sebelum ini telah pulang ke tanah air untuk menghadapi pertuduhan di mahkamah dan mempertahankan diri mengikut proses undang-undang.

“Tidak mengapa jika dia masih menganggap dirinya tidak bersalah, tetapi berhenti bersembunyi di luar negara. Balik ke Malaysia jika benar tidak bersalah. Negara ini ada undang-undang, tiada apa-apa akan berlaku jika mengikut proses,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat