Oleh Zihan Zari
PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum hantaran tular di media sosial yang mendakwa seorang individu sedang merokok di sebuah premis makanan di Rawang pada Isnin.
KKM dalam kenyataan menegaskan bahawa larangan merokok di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) adalah menyeluruh dan terpakai kepada semua individu tanpa sebarang pengecualian, termasuk penjawat awam.
“Hasil siasatan segera mengesahkan bahawa individu terlibat merupakan seorang penjawat awam yang bertugas di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Gombak.
“Susulan pelanggaran tersebut, tindakan kompaun telah pun dikeluarkan kepada individu tersebut di bawah Seksyen 16(2) (No. 4: merokok di tempat makan) Akta 852.
“Selain itu, tindakan tatatertib dalaman juga akan diambil selaras dengan Peraturan – Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) bagi memastikan integriti perkhidmatan awam sentiasa terpelihara, ”kata kenyataan itu.
Ujarnya, KKM memandang serius perkara ini kerana premis makanan adalah satu daripada 28 kawasan larangan merokok yang telah di wartakan demi memelihara kesejahteraan rakyat.
“Sebagai agensi yang menerajui kesihatan awam, KKM tidak akan berkompromi dengan mana-mana warga kerja yang gagal mematuhi undang-undang yang ditetapkan dan komited melaksanakan aktiviti penguatkuasaan secara tegas, adil, dan konsisten bagi melindungi kesihatan orang awam daripada pendedahan asap rokok.
“Pematuhan terhadap larangan merokok adalah tanggungjawab bersama bagi memastikan persekitaran yang bersih, sihat, dan selamat untuk semua, ”ujarnya lagi.
Tambahnya, KKM amat menghargai keprihatinan masyarakat dan menggalakkan penyaluran maklumat atau aduan melalui saluran rasmi kementerian bagi memperkukuh penguatkuasaan demi melindungi kesihatan awam. – SUARA.TV



