KUALA LUMPUR – Isu berhubung tapak kuil berhampiran Jalan Masjid India akhirnya mencapai penyelesaian apabila pihak pengurusan kuil bersetuju untuk memindahkan rumah ibadat itu ke lokasi baharu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, mengesahkan bahawa hasil rundingan pelbagai pihak, kerajaan telah mengenal pasti tapak baharu seluas 4,000 kaki persegi bagi tujuan pemindahan tersebut.
“Keluasan tapak ini setara dengan saiz kuil sedia ada. Tapak ini merupakan sebahagian lot PT 95, Seksyen 40, Mukim Bandar Kuala Lumpur.
“Pembangunan tapak baharu ini tertakluk kepada syarat-syarat pembangunan yang berkuatkuasa dan pihak kuil juga bersetuju dengan perkara ini,” katanya dalam sidang media hari ini.
Menurut Dr Zaliha, tapak baharu itu terletak hanya 50 meter dari lokasi asal, menjadikannya pilihan yang sesuai untuk penempatan semula kuil berkenaan.
Beliau turut menegaskan bahawa penyelesaian ini mengambil kira semua aspek demi memastikan keharmonian masyarakat dan pematuhan kepada undang-undang pembangunan bandar.