AYER KEROH — Seramai 100 orang sukarelawan membersihkan Zoo Melaka melalui Program Khidmat Bakti Siswa di bawah Community Heroes Yayasan Bank Rakyat (YBR) dan kerjasama Pertubuhan Peduli Waghih Negeri Sembilan.
Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani berkata, inisiatif ini memberi pendedahan kepada golongan belia bagi membina ilmu dalam membangunkan jati diri serta membantu membangunkan kebajikan masyarakat.
“Program ini bukan sahaja dapat melahirkan generasi belia yang prihatin dan penyayang, tetapi juga berupaya bertindak sebagai penebat atau pendinding kepada golongan remaja daripada terjebak dalam gejala negatif yang mampu menjejaskan keharmonian negara.
“Ia merupakan salah satu tanggungjawab sosial YBR melalui perkembangan kemahiran bagi meningkatkan kualiti hidup manusia dan alam sekitar,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, program sukarelawan yang terdiri daripada pelajar tajaan YBR ini juga turut mengadakan pembersihan dan menceriakan kawasan zoo untuk keselesaan pengunjung.
Syaiful berkata, pihaknya percaya usaha kelestarian ini dapat membantu mewujudkan ekosistem yang mampan untuk generasi muda, serta memupuk semangat sukarelawan dalam kalangan belia.
“Program Community Heroes YBR terbuka kepada pelajar tajaan YBR ingin berkhidmat kepada masyarakat dengan berkongsi dan menyumbangkan pengetahuan, pengalaman, kemahiran dan tenaga sukarelawan.
“Turut diadakan pembersihan kandang dan pemberian makan kepada haiwan, membaikpulih taman permainan serta memberi pendedahan kepada sukarelawan yang terlibat tentang tatacara pemeliharaan dan pengetahuan berkenaan pemuliharaan haiwan dan juga alam sekitar,” katanya.
Untuk rekod, antara salah satu lokasi zoo di Malaysia yang menjadi tumpuan orang ramai ialah di Zoo Melaka yang menawarkan pengalaman yang menakjubkan kepada para pengunjung di mana ia menempatkan lebih 214 spesies haiwan unggas, mamalia, reptilia dan amfibia.