KUALA LUMPUR – Belum pun bermula persaingan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nampaknya Parti MUDA sudah bertindak ‘melanggar’ otai politik mereka, PKR di Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin.

Meskipun empat hari lalu, Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memaklumkan tidak akan merebut kerusi yang ditandingi pembangkang termasuk PKR pada PRN Johor malah katanya, perkara itu diputuskan bagi membawa perubahan jangka masa panjang kepada rakyat.

Pun begitu, semalam MUDA mencetuskan kontroversi apabila memutuskan meletak calon bagi kerusi di DUN Larkin dan sekali gus bakal bertembung dengan ‘rakan sekutu’ mereka iaitu PKR.

Syed Saddiq mengumumkan calon mereka di Larkin iaitu Rasid Abu Bakar yang juga Ketua Penerangan MUDA Johor pada sesi pengumuman calon DUN Machap dan Parit Raja.

“Kita sudah cuba menjalankan rundingan demi rundingan, kita juga hormat PKR kerana telah umum calon di kesemua 20 kerusi mereka. Kita tidak umum awal kerana menghormati proses rundingan tersebut dan masih cuba guna saluran lain untuk pastikan tidak ada pertindihan kerusi.

“Jika ada sekalipun kita sudah cuba mengurangkan pertindihan kerusi semaksimum mungkin, dan apabila berlaku (pertindihan), kita akan serahkan kepada pengundi untuk membuat keputusan terbaik.

“Saya tidak boleh bercakap bagi pihak PKR sama ada kemungkinan akan berlaku sabotaj, tetapi sebaliknya kita akan fokus kepada permasalahan rakyat,” katanya semalam.

Sebelum ini, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah mengumumkan nama calon mereka di Larkin iaitu Dr. Zamil Najwah Arbain selepas rundingan bersama MUDA gagal mencapai kata sepakat.

Pengumuman itu sekali gus mengesahkan akan berlaku pertembungan sekurang-kurangnya empat penjuru di kerusi Larkin yang disandang bekas Exco daripada Bersatu, Datuk Mohd. Izhar Ahmad.

Barisan Nasional (BN) turut mengumumkan calon mereka iaitu Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd. Hairi Mad Shah sebagai muka baharu di kerusi tersebut pada pilihan raya berkenaan.

Selain DUN Larkin, Syed Saddiq turut mengumumkan calon bagi DUN Machap yang akan diwakili R. Sangaran yang merupakan Timbalan Pengerusi Muda Johor dan DUN Parit Raja diwakili Setiausaha Jawatankuasa Muda Johor, Fikri Musa.

Sementara itu, Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar masih berteka-teki berhubung sama ada beliau bakal bertanding dalam PRN Johor pada 12 Mac ini.

“Buat masa ini, hanya tujuh kerusi yang akan ditandingi Muda dalam PRN Johor dan kita mahu menampilkan calon-calon Muda lain yang jauh lebih baik dan layak daripada saya. Sekali lagi saya tegaskan Muda bukan Syed Saddiq sebaliknya suara anak muda tempatan yang mempunyai hati untuk berkhidmat kepada rakyat negeri ini,” jelasnya.

Untuk rekod, sebelum ini Syed Saddiq berkata, bersandarkan kenyataan Presiden PKR Anwar yang mengumumkan 20 calon.

“Komitmen saya sebagai Presiden MUDA memastikan MUDA tak akan bertanding di kerusi yang ditandingi PKR dan pembangkang lain.

“Kalau lihat kerusi yang MUDA tandingi adalah di kerusi Umno dan Bersatu kerana nak pastikan bawa perubahan jangka masa panjang bukan sekadar PRN,” katanya.

Manakala di laman Twitter kebanyakan penyokong PKR mengecam tindakan MUDA malah ada ahli MUDA bertindak ‘keluar’ parti secara atas talian kerana tidak berpuas hati dengan tindakan langgar rakan sekutu itu.