KUALA LUMPUR: No comment (enggan mengulas). Ringkas jawapan personaliti media sosial yang juga adik Neelofa, iaitu Nur Ameera Khan apabila diajukan soalan mengenai dakwaan memuat naik adegan filem House of Gucci dalam media sosial yang hangat diperkatakan netizen, baru-baru ini.
Ameera atau lebih dikenali sebagai Little Miss Khan sekadar memberi jawapan pendek tanda tidak mahu melayan pertanyaan itu.
“Saya tiada komen,” katanya ketika dihubungi BH Online di sini, hari ini.
Awal Januari lalu, perkongsian adegan House of Gucci dalam media sosial oleh Ameera menimbulkan rasa kurang senang netizen kerana filem itu belum ditayangkan di Malaysia.
Dalam perkembangan lain, mengulas mengenai kenyataan di Instagram (IG) Story konon mahu berkahwin, tahun ini, Ameera berkata, perkara itu sekadar gurauan kepada pengikut.
“Itu saya main-main sahaja. Saya pun tidak tahu bila akan berkahwin, Allah saja yang tahu.
“Kalau ada, adalah. Kalau tiada, tidak mengapa. Saya tidak terkejar-kejar sebab sekarang saya hanya mahu fokus kepada diri saya dan karier.
Ameera enggan mengulas kontroversi muat naik adegan filem House of Gucci melalui IGs, Januari lalu yang mencetuskan perbualan hangat netizen. Foto IG Little Miss Khan
Ameera enggan mengulas kontroversi muat naik adegan filem House of Gucci melalui IGs, Januari lalu yang mencetuskan perbualan hangat netizen. Foto IG Little Miss Khan
“Itu perkara paling penting untuk saya sekarang,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ameera yang menjadi wajah koleksi terbaharu The Little Mermaid Disney dan Naelofar, teruja berkongsi mengenai kakaknya, Neelofa yang sudah menjadi ibu.
“Saya fikir kakak adalah ibu yang semula jadi. Dia suka kanak-kanak dari dahulu lagi. Jadi, saya sangat gembira tengok dia bersama keluarganya sekarang,” katanya.
Neelofa mendirikan rumah tangga dengan PU Riz atau nama sebenar, Muhammad Haris pada Mac 2020 dan menyambut kelahiran anak sulung diberi nama, Muhammad Bilal pada 29 Januari lalu.
Berita Harian