KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Puad Zarkashi menyokong desakan Pemuda Umno Sabah supaya pengampunan penuh terhadap bekas Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak.
Puad bahkan mengemukakan saran supaya semua kes yang melibatkan ahli politik termasuk kes Najib dan keluarganya selepas 2018 digugurkan.
“Saya sokong desakan Pemuda Umno Sabah. Sepatutnya semua kes yang melibatkan ahli politik termasuk kes Najib dan keluarganya selepas 2018 digugurkan.
“Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kata dakwaan itu tergesa gesa, dendam dan beracun. Terutamanya kes kes tertangguh lama tanpa perbicaraan. Ia membazir sumber kerajaan dan hanya bermotif untuk memalukan, membina persepsi dan menyusahkan yang tertuduh,” kata Puad dalam hantaran di Facebooknya pada Selasa.
Menurut beliau lagi, perbicaraan kes Riza Aziz (anak tiri Najib) tidak pernah berjalan satu hari pun sejak dia didakwa.
“Sebab itu bila beberapa kes yang melibatkan Najib, Rosmah, Riza dan Zahid digugurkan SPRM tidaklah terkejut seperti mana mereka terkejut beruk apabila Tommy Thomas membatalkan kes Lim Guan yang sedang dalam perbicaraan.
“Keluarga Najib amat gentleman. Tak lari. Riza Azis duduk luar negara tapi balik untuk hadapi pertuduhan pada 14 Mei 2020.
“Culprit sebenar seperti Jho Low masih bebas dan menantu yang lari juga masih bebas,” bidasnya.