MEGAHITZ 3 Dekad Vol.1: Konsert nostalgia, kolaborasi unik legenda muzik tanah air

- Advertisement -

Industri muzik Malaysia bakal menyaksikan satu detik bersejarah pada 25 Januari 2025, apabila sembilan nama besar dalam arena muzik tempatan bersatu dalam Konsert MEGAHITZ 3 DEKAD VOL.1. Berlangsung di Zepp Kuala Lumpur, konsert ini bukan sekadar persembahan muzik, tetapi satu penghormatan kepada perjalanan dan transformasi muzik tanah air selama tiga dekad yang lalu.

Konsert yang dinanti-nantikan ini mempersembahkan gabungan vokal mantap dari ikon muzik seperti Datuk Jamal Abdillah, Datuk Nash, Datuk Hattan, Man Bai, Ramlah Ram, Zur Eda, Nurshila Amin, Andy Flop Poppy, dan Amir Masdi. Setiap artis mewakili era kegemilangan yang tersendiri, mengukir nama mereka melalui pelbagai genre dari pop, rock, balada, hingga jazz. Kali ini, mereka akan menyajikan pengalaman yang penuh nostalgia dengan persembahan yang kembali ke zaman kegemilangan 80-an dan 90-an.

Namun, apa yang menjadikan Konsert MEGAHITZ 3 DEKAD VOL.1 istimewa bukan sahaja kerana barisan artis lagenda yang diundang, tetapi juga kerana ia merupakan peluang yang sangat jarang berlaku di mana penyanyi-penyanyi ini tampil dalam kolaborasi yang unik di pentas yang sama. Lebih menarik, peminat dapat menyaksikan detik-detik magis apabila suara-suara besar dari era berlainan bergabung untuk menyanyikan lagu-lagu ikonik yang pernah meraih Anugerah Juara Lagu (AJL) serta memenangi hati rakyat Malaysia selama ini.

Peminat boleh menjangkakan bukan sahaja persembahan solo memukau, tetapi juga gabungan luar biasa di mana artis-artis ini akan menyanyikan semula 22 buah lagu yang pernah mencetus fenomena dalam dunia seni muzik Malaysia.

Afiezan Shah Mohd Zahari, Pengasas dan Pengarah Pentas 365 Events yang menganjurkan konsert ini, menyatakan bahawa MEGAHITZ 3 DEKAD VOL.1 adalah lebih daripada sekadar konsert. Ia adalah penghargaan terhadap legasi yang telah ditinggalkan oleh para penyanyi ini dan bagaimana mereka berjaya mencorak budaya muzik tempatan.

“Konsert ini bukan sekadar meraikan para lagenda, tetapi juga mengenang semula era emas industri muzik kita. Setiap artis dalam konsert ini telah memberi impak yang besar, bukan hanya melalui lagu-lagu mereka tetapi juga melalui dedikasi dan kesenian yang mereka bawakan. Kami sangat berbangga dapat menganjurkan malam yang bakal dikenang ini,” katanya.

Afiezan turut menambah, “Setiap lagu yang bakal dipersembahkan adalah karya yang telah menyentuh hati rakyat Malaysia selama bertahun-tahun. Dengan tema ‘back to the 80’s & 90’s’, kami mahu membawa penonton kembali ke masa lalu, menghidupkan semula kenangan dan emosi yang pernah mereka rasai dengan lagu-lagu hits ini.”

Malam tersebut juga akan menyaksikan penampilan istimewa Kid Search, yang bakal membuat kemunculan menerusi lagu popular Gersang, “Masih Aku Terasa”. Ini pasti menjadi satu lagi momen berharga buat para peminat yang telah lama merindukan persembahan dari gitaris tersohor ini.

Menambahkan lagi keistimewaan konsert ini, penganjur turut mengajak penonton untuk hadir dengan kod pakaian bertemakan retro. Dengan sokongan radio rasmi seperti Sinar FM, Gegar FM, dan Zayan FM, konsert ini pasti membawa aura zaman dahulu ke zaman moden dengan penuh gaya dan emosi.

Dengan muzik dan kolaborasi yang dijanjikan bakal menggamit kenangan, konsert ini diyakini akan menjadi perayaan istimewa yang bakal dikenang lama. Tiket-tiket sudah mula dijual sejak 29 September, dan peminat yang ingin menyaksikan malam penuh nostalgia ini boleh mendapatkannya menerusi laman web rasmi di www.myticketempire.com atau mengikuti Instagram MEGAHITZ @pentas365 untuk maklumat lanjut.

Konsert MEGAHITZ 3 DEKAD VOL.1 bukan sahaja menjanjikan malam yang penuh dengan memori indah, tetapi juga peluang untuk para peminat muzik Malaysia berkumpul dan mengingati detik-detik keemasan yang pernah membentuk jiwa seni mereka.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat