Konsert 7 Vibrator Gitar yang akan berlangsung pada 3 November 2023 bertempat di Zepp Kuala Lumpur akan menyaksikan persembahan yang julung julung kalinya dibuat di negara ini. 7 gitaris akan berada di satu pentas dan bergabung memberi harmoni petikan gitar yang akan membuat penonton terkasima.
Konsert yang dijangka akan bermula pada pukul 8.30 malam berdurasi selama 2 jam setengah dan akan menyampaikan sebanyak 21 buah karya dengan 14 buah lagu yang akan dinyanyikan oleh penyanyi rock lagenda, Muss bersama penyanyi bersuara lantang, Dato’ Hattan dan bekas vokalis kumpulan Kristal, Lan Solo.
“Kalau gagal saya ok sebab saya dah buat, saya lega dapat laksanakan impian saya, kerja ini memang ‘kerja gila’ tetapi semua ini adalah untuk industri muzik kita, peluang untuk bergabung dengan pemain-pemain gitar terhebat dan bersama-sama bertukar pendapat serta berkongsi idea, jika saya seorang sahaja, mustahil saya mampu untuk laksanakan semua kerja ini,” ujar Jo Branko yang telah mencetuskan idea untuk projek 7 pemain gitar tanah air untuk bergabung di atas satu pentas.
7 Vibrator Gitar akan membawa Jo Branko sebagai pencetus projek ini Kidd Search, Man Keedal, Shah Slam, Jemboo Def Gab C serta pemain gitar muda Muzza dan Anis Kalisa. Mereka akan diiringi oleh kumpulan Barbarik yang dianggotai oleh Rozaimie (bass), Adi Yamin (keyboard) dan Ainoll (drum).
“Semua lagu macam lagu baharu cuma melodinya sahaja kita akan kekalkan, kita dah masuk hari ke 36 untuk sesi latihan dan semuanya mengikut jadual yang telah disusun. Kebanyakan lagu-lagu yang dipersembahkan adalah lagu era zaman saya iaitu era 80 dan 90an antaranya lagu yang bakal dipersembahkan seperti Perjuangan, Hati Emas nyanyian kumpulan Kembara, kita akan bawa lagu dari kumpulan Search, May, Rusty Blade dan Ramli Sarip. Kebanyakannya lagu-lagu berirama rock dan istimewanya ada segmen akustik dengan lagu madley yang menjadi jantung konsert tersebut.” Ulas Jo Branko.
Walaupun konsert ini lebih memfokus pada persembahan gitar, namun bagi Muss nyanyian juga amat penting dan tidak boleh diambil ringgan ini kerana kesemua lagu- lagu yang akan dibawanya nanti telah ditukar dari segi arrangement muzik.
“Walaupun part saya ada sebahagian sahaja tapi kita kena bagi sepenuh komitmen sebab dari segi arrangment muzik kebanyakannya telah ditukar, sebelum latihan kita ada pre pro terlebih dahulu jadi saya dah faham apa kehendak Joe, bila kita semua memulakan latihan bersama tak adalah nak argue,” kata Muss.
Selain dari proses pemilihan lagu, perkara yang amat penting dan mencabar untuk menjayakan konsert ini adalah dari segi teknikal. Tujuh gitar elektrik dan tujuh gitar akustik akan digunakan untuk persembahan itu nanti, bermula dari pemasangan, pengujian bunyi, pertukaran gitar semuanya perlu dibuat dengan teliti dan cekap agar tidak ada kecacatan sewaktu beraksi di atas pentas itu nanti.
“Apa yang kita buat ini satu eksperimen untuk orang lain dengar bukan untuk kita, kalau kita main ikut syok kita, ianya akan habis macam tu sahaja tetapi kita buat supaya halwa telinga penonton yang mendengar muzik yang kita mainkan itu lebih sedap dan menjadi satu pengalaman yang mungkin akan diingati sampai bila-bila, kita harap macam tu la.” Ulas Jo Branko.
“Kalau konsert ini success kita akan adakan lagi untuk konsert vol 2, vol 3, mungkin kita tambah lagi, maybe akan datang konsert untuk pemain dram pula, kita kena pecahkan ruyung tu dulu, konsert yang ini kita kena pecahkan dulu, jika orang boleh accept bukan saya sahaja maksudnya orang lain pun kalau ada idea dia boleh buat sebab konsert ini boleh dijadikan sebagai benchmark, tapi apa yang penting adalah Penonton semua Enjoy” Ulas Jo Branko.
Jualan tiket konsert Tujuh Vibrato Gitar amat menggalakkan dan sehingga setakat ini tiket-tiket sudah pun terjual sebanyak 70 peratus. Konsert yang akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 3 November ini, bolehlah mendapatkan tiket dengan melayari www.tix-box.com. Harga tiket mengikut kategori Cat 1 Rock Zone RM188 (berdiri), Cat 2 Normal Seats RM278.00 (bernombor), Cat 3 Premium seats RM338 (bernombor) dan Cat 4 VIP box RM5,000 (8 pax/box).