PUO terima 123 pelajar baharu asasi Teknologi Kejuruteraan, lepasi sasaran

- Advertisement -

Oleh: Zihan Zari

IPOH – Politeknik Ungku Omar (PUO) mencatatkan kejayaan membanggakan apabila pendaftaran pelajar baharu bagi program Asasi Teknologi Kejuruteraan melepasi sasaran yang ditetapkan.

Pengarah PUO, Dr. Shamsuri Abdullah, berkata, pendaftaran ini menunjukkan minat yang tinggi dalam kalangan pelajar terhadap program asasi yang ditawarkan oleh PUO, yang terkenal dengan kemudahan dan kualiti pendidikan teknikal yang cemerlang.

Beliau turut hadir semasa sesi lawatan hari pendaftaran mengucapkan selamat datang dan tahniah kepada semua pelajar baharu asasi PUO dan menyatakan rasa syukur dan bangga atas sambutan yang diterima kerana ini adalah pencapaian yang luar biasa bagi PUO.

“Kejayaan ini menunjukkan kepercayaan pelajar dan ibu bapa terhadap kualiti pendidikan yang kami tawarkan.

“Kami komited untuk terus memberikan pendidikan terbaik kepada pelajar-pelajar kami.

“Program Asasi Teknologi Kejuruteraan di PUO direka untuk memberikan asas kukuh dalam bidang teknologi kejuruteraan.

“Selain itu, menyediakan pelajar bagi melanjutkan pengajian ke mana-mana universiti teknikal (MTUN) serta persediaan menghadapi cabaran dalam industri,” katanya.

Ujarnya, selain PUO, beberapa politeknik lain yang turut menawarkan program Asasi Teknologi Kejuruteraan termasuk Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), Politeknik Merlimau Melaka (PMM), dan Politeknik Tuan Syed Nasir (PTSN).

“Setiap institusi ini juga menyasarkan pendaftaran 100 pelajar bagi program asasi mereka.

“Dengan pencapaian ini, PUO akan terus mengukuhkan reputasinya sebagai salah satu institusi pendidikan teknikal terkemuka negara.

“Di samping itu, menyumbang kepada pembangunan modal insan berkualiti tinggi dalam bidang teknologi kejuruteraan,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Pegawai Perhubungan Awam PUO, Sharifah Anita Wafa berkata, seramai 123 pelajar telah mendaftar pada Isnin, dan telah mengatasi sasaran asal sebanyak 100 orang. – SUARA.TV

author avatar
Mohd Faizul
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat