KUALA LUMPUR- Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berharap perdamaian antara Hamas dan Fatah berjaya diterjemahkan demi pembebasan Palestin.
Menurut Ismail Sabri, Deklarasi Beijing ini harus diikuti oleh oleh seluruh dunia yang bukan hanya mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara tetapi bersama-sama berusaha menamatkan penghapusan etnik dan kezaliman yang paling dahsyat pada abad ini.
“Alhamdulillah, syukur, Hamas dan Fatah bersama 12 kelompok Palestin kembali bersatu dengan berikrar menamatkan perpecahan dan mengukuhkan perpaduan.
“Deklarasi Beijing yang ditandatangani kumpulan-kumpulan tersebut semalam amat penting untuk membuktikan bahawa mereka telah bersatu dan bersedia untuk bersama-sama membina kembali Palestin selepas diceroboh serta dijajah Israel.
“Tahniah dan sekalung penghargaan kepada China yang berusaha mendamaikan fraksi-fraksi Palestin secara tidak langsung menamatkan usaha pihak tertentu memecah belahkan rakyat negara tersebut.
“Semoga perdamaian ini benar-benar ini diterjemahkan, bukan hanya di atas kertas sahaja. Palestin bebas dan merdeka!,” kata beliau.