Dewan Negara: Menteri Agama perjelas peranan dan hasil lawatan kerja ke luar negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Penglibatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dalam lawatan kerja dari luar dan lawatan kerja ke negara luar memainkan peranan yang penting dalam memperkukuh hubungan diplomatik dalam pengurusan hal ehwal Islam amnya.

Selain itu, ia juga penting dalam meneroka bidang kerjasama yang berpotensi bagi manfaat kedua-dua buah negara.

Dalam jawapan bertulis di Dewan Negara, Na’im menjawab soalan Senator, Datuk Mohd Hisamudin Yahaya yang bertanya apakah penglibatan, peranan dan hasil Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam lawatan kerja dari negara luar dan lawatan kerja ke negara luar terutama dalam bidang pembangunan muamalat dan syiar Islam.

Na’im dalam jawapan bertulisnya menyatakan, program yang diaturkan dalam lawatan tersebut seperti pertemuan dengan rakan sejawat, lawatan ke agensi agama serta diaspora Malaysia di negara tersebut antara lain bertujuan bertukar idea dan amalan terbaik dalam pelbagai bidang seperti pengurusan hal ehwal Islam, pembangunan halal, pengurusan haji, wakaf dan zakat dan aspirasi semasa negara Malaysia Madani.

“Kerajaan telah menyahut hasrat baik dan aspirasi yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam siri lawatan beliau agar membantu dan berkerjasama dalam pembangunan ekosistem halal yang dilihat akan memberi pulangan besar kepada sektor ekonomi di negara yang dilawati beliau.

“Sebagai rekod, Menteri Hal Ehwal Agama dalam siri lawatan ke Republik Arab Mesir, Arab Saudi, Republik Kyrgyz, Uzbekistan dan Kazakhstan telah mengadakan perbincangan ke arah mengadakan kerjasama strategik antara kedua-dua negara terutamanya dalam bidang pengurusan hal ehwal Islam dan pembangunan halal.

“Selain daripada itu sebagai penghargaan dengan kecemerlangan pengurusan haji, Kerajaan Arab Saudi sekali lagi telah mengiktiraf Lembaga Tabung Haji (TH) dengan memberikan Anugerah Labbaittom bagi kategori kepuasan tertinggi dalam perkhidmatan yang disediakan oleh Pejabat Urusan Haji Malaysia.

“Anugerah ini diterima pada 18 Jun 2024 buat kali ketiga berturut-turut dan telah disampaikan dalam Majlis Penutup Musim Haji 1445H/2024M di Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi,” jelasnya menjawab soalan Hisamudin berkenaan.

Na’im juga memaklumkan, Kerajaan Malaysia melalui JAKIM juga telah bersetuju untuk memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang hal ehwal Islam dengan Kementerian Awqaf Mesir yang merangkumi bidang kerjasama seperti latihan dan penyelidikan akademik, waqaf dan zakat, al-Qur’an serta masjid. Kerjasama ini berpotensi memberi manfaat besar kepada pegawai-pegawai hal ehwal Islam di Malaysia.

Selain itu katanya, Kkerajaan juga telah bersetuju untuk bekerjasama dengan Azhar al- Sharif dalam bidang pendidikan Islam dan pembanterasan eksterimism yang merangkumi kerjasama pendidikan Islam dan pengajian bahasa Arab, pertukaran kepakaran dan pengalaman dalam memerangi estremisme Islam, memperkenalkan Islam dan membuktikan kebaikannya serta toleransinya.

“Kerajaan mendapati terdapat impak yang baik secara khusus kepada Malaysia hasil daripada lawatan berkenaan.

“Antaranya adalah meningkatkan hubungan kerjasama dua hala dan pelbagai hala dalam pasaran halal, pengurusan pensijlan halal, pembangunan kapasiti halal melibatkan badan pensijilan halal dan turut membantu negara terlibat dalam membangunkan sistem pensijilan halal secara menyeluruh.

“Penglibatan lain YB Menteri ke luar negara juga bagi memenuhi jemputan menghadiri persidangan dan sidang kemuncak antarabangsa berkaitan agama, keamanan, dan pembangunan dengan mengenengahkan pengalaman Malaysia dalam
pengurusan hal ehwal Islam di Malaysia.

“Melalui penglibatan ini, lawatan-lawatan ini secara efektif mempromosikan aspirasi semasa negara Malaysia Madani, nilai-nilai Islam, memupuk kerjasama antarabangsa, dan meningkatkan kesejahteraan komuniti Muslim di luar negara,” ujar Na’im.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat