KUALA LUMPUR – Umno Bahagian Kota Raja menggesa Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz diangkat sebagai ikon kepada Selangor, sekali gus menyuntik semangat baharu kepada pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung 12 Ogos depan.
Timbalan Ketua Umno Bahagian Kota Raja, Abdul Raof Mokhtar, berkata ia mengambil kira kekecewaan akar umbi selepas nama Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu tiada dalam senarai calon PRN di mana-mana kerusi di Selangor.
Merujuk kenyataan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan, katanya ia seolah-olah membayangkan kepemimpinan Umno Selangor langsung tidak menimbangkan nama Tengku Zafrul sebagai calon PRN kali ini.
“Kami berpandangan sebagai Bendahari UMNO dan Barisan Nasional (BN) Selangor, pastinya dalam apa juga keadaan YB (Yang Berhormat) Tengku wajar dilibatkan atau dimaklumkan dalam urusan berkaitan tadbir urus dan juga sebarang perkembangan di dalam perbincangan mengenai calon PRN negeri Selangor.
“Dalam kita akur di atas keputusan pucuk pimpinan UMNO Selangor dan Pusat, kepemimpinan dan Ahli Umno Bahagian Kota Raja kecewa dengan keputusan dibuat.
“Kami merasakan Tengku Zafrul tidak diberi peluang dan pertimbangan sewajarnya untuk dipertimbangkan sebagai salah seorang calon dalam PRN kali ini,” katanya melalui kenyataan lapor BH.
Dalam pada itu, Abdul Raof berkata Umno Bahagian Kota Raja amat bimbang dengan suasana politik masa kini kerana ahli akar umbi Umno amat mengharapkan Tengku Zafrul dicalonkan bagi membantu mencorakkan hala tuju politik di Selangor secara amnya dan di Parlimen Kota Raja khasnya.
“Kekecewaan pengundi tegar BN di Parlimen Kota Raja merasakan Tengku Zafrul harus diberi peluang memandangkan beliau pada pandangan kami dilihat sebagai ‘winnable candidate’ (calon boleh menang).
“Beliau juga seorang yang mudah didekati dan mempunyai pengalaman pentadbiran luas, berdedikasi, berintegriti dan dilihat mampu untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat.
“Justeru Umno Bahagian Kota Raja mengambil ketetapan bahawa Tengku Zafrul perlu menjadi ikon kepada negeri Selangor bagi memberikan semangat baharu kepada pengundi muda dan pengundi baharu yang akan terbabit pada PRN nanti,” katanya.