KUALA LUMPUR – Lebih ramai pemimpin yang lebih baik daripada Dr Muhamad Akmal Saleh akan dilahirkan daripada kilang Pemuda Umno.
Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh berikrar akan berusaha mencipta lebih ramai pemimpin muda yang hebat dalam kalangan Pemuda Umno kelak.
“Saya menghargai pandangan yang telah diberikan oleh Prof Madya Dr Mohd Zaini yang diterbitkan di dalam Berita Harian (BH) hari ini.
“Walaupun tidak pernah bersua muka,tetapi pandangan yang diberikan oleh Prof akan saya ambil sebagai satu suntikan semangat dan cabaran untuk Pemuda Umno Malaysia untuk terus berani membawa gaya politik baru yang progresif dan matang.
“Insya-Allah lebih ramai lagi pemimpin yang jauh lebih baik daripada “Akmal” akan kami lahirkan daripada kilang Pemuda Umno Malaysia,”ulas Akmal dalam hantaran di Facebooknya pada Isnin.
Terdahulu, Penganalisis Politik dan Penasihat Unit Literasi dan Advokasi Politik, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain dalam rencana yang diterbitkan BH berkata, Umno boleh mengambil pengalaman bagaimana dalam PRN Melaka tahun lalu, parti itu berjaya meletakkan calon muda dan profesional seperti Dr Muhamad Akmal Saleh.
“Beliau yang memenangi DUN Merlimau dalam PRN Melaka terus mengorak langkah pantas dalam perjalanan karier politik apabila dilantik sebagai Exco Kesihatan dan Antidadah dan kemudian dipilih menjadi Ketua Pemuda Umno.
“Beliau adalah contoh jelas bagaimana Umno berjaya mencungkil bakat baharu kepemimpinan parti melalui pilihan raya.
“Sudah tentu, dengan kejayaan ini, Umno wajar mencipta lebih ramai ‘Akmal’ dalam siri pilihan raya akan datang. Apa yang lebih penting, Umno wajar membuka peluang lebih besar kepada calon muda profesional, sekali gus membuktikan parti itu sebenarnya tidak tandus dengan pilihan pemimpin muda,” catat beliau.