KUALA LUMPUR – Umno dan Barisan Nasional (BN) sentiasa mengadakan pertemuan dengan semua pihak bagi membincangkan kerjasama politik, termasuk dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi menghadapi pilihan raya negeri ke-17 (PRN17).
Pengerusi BN merangkap Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata tiada pintu harus dibuka seluas-luasnya dan tiada pintu ditutup serapat-rapatnya.
“Ertinya ruangan perundingan itu sering dilakukan dan kita mengharapkan yang positif. Perincian tidak dapat dilakukan sekarang kerana Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah belum dibubarkan.
“Apabila tiba masanya nanti, kita akan dapat tamatkan segala pertemuan dan perundingan yang kita lakukan,” katanya yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah pada sidang media selepas menyempurnakan Program Pemerkasaan Wanita Sabah 2025, di Kota Kinabalu pada Selasa.
Yang turut hadir, Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Pengerusi Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, lapor BH di Sabah.
Apa yang pasti, tegas Timbalan Perdana Menteri, BN akan menggunakan lambang dacing pada PRN17 Sabah tanpa menolak kolaborasi dengan gabungan parti lain.
Sebelum ini, BN dan Pakatan Harapan (PH) mengeluarkan kenyataan bersama untuk bekerjasama pada PRN17, namun Pengerusi PH yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu kerjasama itu turut membabitkan GRS.
Bagaimanapun, perkembangan semasa menunjukkan pemimpin Umno Sabah enggan membentuk kerjasama dengan GRS, yang menyatakan keinginan untuk mengekalkan kerjasama dengan PH seperti yang ada dalam kerajaan negeri sekarang.
GRS turut menyatakan kesediaan untuk bertanding solo jika rundingan dengan parti lain gagal mencapai kata sepakat.
Mengenai rundingan pembahagian kerusi DUN Sabah, Zahid berkata, pihaknya belum sampai ke peringkat itu, sebaliknya tumpuan ketika ini ialah perbincangan bagi membentuk kerjasama dengan parti yang sehaluan.
“Kita belum ke peringkat perbincangan pembahagian kerusi atau mengelakkan pertindihan kerusi, tetapi yang terbaik ialah kita mempunyai sikap terbuka dan tentunya kita mencari lebih ramai rakan berbanding mencari musuh,” katanya.
Beliau juga belum mahu mendedahkan jumlah kerusi yang diingini Umno dan BN untuk ditandingi pada PRN17, tetapi menekankan mahu memastikan semua kerusi yang ditandinginya dapat dimenangi.