KUALA LUMPUR – Insiden pembakaran karikatur Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kota Kinabalu baru baru ini mengingatkan kerajaan betapa besar harapan rakyat agar rasuah dibanteras sampai ke akar umbi.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah berkata, pembakaran karikatur di demonstrasi “Gempur Rasuah Sabah 2.0” tidak menggoyahkan jejak reformasi.
“Sebagai bekas aktivis mahasiswa dan seorang reformis, Perdana Menteri sentiasa mempertahankan kebebasan bersuara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan. Insiden pembakaran karikatur Perdana Menteri di Kota Kinabalu baru baru ini mengingatkan kita betapa besar harapan rakyat agar rasuah dibanteras sampai ke akar umbi.
“Perdana Menteri sendiri muncul daripada gerakan mahasiswa dan pernah memimpin gerakan reformasi di jalanan, maka beliau benar-benar memahami suara itu; beliau sendiri saksi bahawa kritikan, walau sepedas mana, adalah sebahagian penting dalam meraikan demokrasi.
“Beliau menitip pesan bahawa semangat perubahan bermula dengan keberanian anak muda menyuarakan kebenaran berlandaskan fakta dan niat yang tulus,” katanya ketika menyampaikan Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada Selasa.
Justeru ujar beliau lagi, di pihak kerajaan, komitmen reformasi kekal teguh, sedang dan telah diterjemahkan ke dalam tindakan nyata.
” Komitmen reformasi ini tidak akan terhenti setakat ini, dan ia akan terus diperhalusi dan dilaksanakan dengan berstruktur.
“Selaras dengan pendekatan Madani yang mengutamakan nilai ihsan, Perdana Menteri turut mengarahkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) agar pelajar yang terlibat tidak disekat perjalanan akademiknya; masa depan anak muda tidak harus terkorban dalam arus perbezaan pandangan.
“Demi generasi akan datang, Kerajaan Madani akan terus menapak di landasan reformasi, memastikan setiap usaha memerangi rasuah diterjemah kearah kesejahteraan dan kemakmuran buat seluruh rakyat Malaysia,” kata beliau.