Setelah hampir tiga dekad menyepi dari pentas arus perdana, kumpulan hip hop ikonik Malaysia, 4U2C, kini kembali menggegar industri dengan konsert berskala mega bertajuk WE 4U2C – Bringin’ Back Da 90’s Flava. Konsert ini bakal berlangsung pada 15 September 2025 di Idea Live Arena, Petaling Jaya, dan menjanjikan bukan sekadar persembahan tetapi satu pengalaman penuh emosi, tenaga dan kenangan.
Dianjurkan oleh Juss Event Sdn Bhd, konsert ini merupakan cetusan idea Datin Emylia Rosnaida, isteri kepada Datuk AC Mizal, yang turut bertindak sebagai penerbit bersama. Matlamat utama konsert ini bukan sekadar untuk mengimbau zaman kegemilangan 4U2C yang pernah mencetus fenomena di era 90-an, tetapi sebagai penghargaan buat peminat setia dan generasi baharu.
“Konsert ini bukan sekadar gimik. Kami kembali kerana muzik kami masih relevan dan kami tahu ramai yang rindukan gaya serta semangat kami. 4U2C adalah pelopor persembahan menyanyi sambil menari di Malaysia, dan kami akan buktikan kami masih berbisa,” ujar Datuk AC Mizal dalam satu sesi temubual bersama media.
Dengan tema Bringin’ Back Da 90’s Flava, konsert ini akan menghimpunkan tujuh anggota asal iaitu AC Mizal, Aren, Yanz, Rinz, Lanz, Charlie, dan Azam. Kesemua mereka kini bersedia memulakan rejim latihan intensif bermula minggu ini bagi memastikan tahap kecergasan dan mutu persembahan kekal mantap.
“Kami kena warm up balik. Banyak kena adjust sebab badan pun dah lain. Tapi kami buat dengan semangat yang sama macam dulu,” kata Azam
Latihan mereka merangkumi vokal, stamina, dan koreografi di samping aspek kesihatan turut diberikan keutamaan. Menyedari peningkatan usia, anggota kumpulan ini secara berseloroh mengakui perlu mendapatkan rawatan sendi dan lutut sebagai sebahagian daripada persiapan fizikal.
Meskipun sejarah perjalanan 4U2C tidak sunyi daripada konflik dalaman dan pertukaran ahli, mereka kini kembali bersatu dengan semangat lebih matang dan mesra.
“Dulu biasalah, ada clash, ada salah faham. Tapi sekarang semua dah matang. Kami kembali macam adik-beradik,” jelas Azam, mewakili perasaan seluruh kumpulan.
Kembali bersatu bukan hanya soal nostalgia, tetapi tentang kekeluargaan dan jati diri yang selama ini membentuk 4U2C sebagai satu unit seni yang unik.
Konsert ini dijanjikan sebagai satu persembahan penuh produksi besar, diketuai oleh pengarah muzik terkenal Aubrey Suwito, bersama 10 pemuzik profesional dan antara 7 hingga 14 penari latar. Setiap lagu akan diberi sentuhan baharu namun kekal dengan “flava” asli 4U2C yang menggabungkan gaya hip hop, pop dan R&B.
“Kami takkan miming. Ini bukan zaman kaset. Semua live. Kalau termengah, memang betul-betul termengah,” seloroh AC Mizal, memberi jaminan tentang keaslian persembahan mereka.
Selain persembahan fizikal, visual di skrin besar akan memaparkan kisah dan perjalanan seni 4U2C daripada zaman permulaan mereka di Chow Kit sehinggalah mencipta nama sebagai fenomena nasional.
Kemunculan semula ini bukan episod penutup, sebaliknya satu permulaan baharu. Kumpulan ini bakal melancarkan tiga buah single baharu sepanjang tahun 2025 satu lagu balada dan dua lagu rancak sebagai penanda fasa kedua kerjaya seni mereka.
Menariknya, salah satu single berjudul “4U2C – Berpisah Jangan” telah pun dilancarkan semasa sidang media konsert ini. Lagu ini mengangkat semangat kekeluargaan kumpulan tersebut dan menjadi simbolik kepada perpaduan mereka yang utuh meskipun pernah melalui pelbagai cabaran.
“Kita ikut perkembangan semasa juga. Sekarang peminat dengar muzik melalui digital platform. Jadi, kami akan hasilkan karya baru, tapi identiti tetap 4U2C,” ujar AC Mizal.
Harga tiket untuk konsert ini adalah seperti berikut:
Tingkat Bawah:
- RM155 – Berpisah Jangan
- RM355 – Kembalilah Fiona
- RM455 – Video Games
- RM505 – Kami Rappers
- RM555 – Fiona
Tingkat Atas:
- RM255 – Kenangan Cinta & Persahabatan
- RM355 – I Miss U
- RM405 – Dusta
- RM505 – Dynamite
Tiket akan mula dijual mulai 30 Jun 2025 melalui platform Ticket Empire dan Fantopia.
Peminat disarankan mendapatkan tiket lebih awal kerana sambutan dijangka sangat tinggi. Pembayaran juga boleh dilakukan melalui kaedah ansuran seperti Atome, Grab PayLater, dan Shopee PayLater untuk kemudahan pembeli.
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, sila layari laman rasmi Juss Event serta media sosial mereka di Instagram, Facebook dan TikTok. Perkembangan terbaru kumpulan 4U2C pula boleh diikuti menerusi akaun rasmi Instagram dan TikTok kumpulan tersebut.
Konsert “WE 4U2C Bringin’ Back Da 90’s Flava” bukan sekadar acara hiburan. Ia adalah perayaan kepada satu warisan seni, penyambung generasi, dan bukti bahawa muzik yang ikhlas akan sentiasa hidup tidak kira masa, umur atau era.
4U2C bukan hanya kembali untuk mengimbau mereka datang dengan tenaga baharu, visi segar dan profesionalisme tinggi. Inilah peluang untuk menyaksikan legenda mencipta sejarah semula, secara langsung, sepenuh hati, dan dengan cinta yang sama seperti dulu.
.#WE4U2C #BringinBackDa90sFlava