KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Saleh tidak menganggap kumpulan mahasiswa yang membakar karikatur Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai berani sebaliknya bacul dan bodoh.
Tegas Akmal seseorang pejuang perlu berani bukannya bodoh dan kurang ajar.
“Bagaimana kita marah ketika gambar pemimpin negara kita dahulu diperlakukan begitu hina,begitulah juga kita harus marah ketika gambar pemimpin kita hari ini walaupun berlainan parti diperlakukan sebegitu.
“Kalau pejuang perlu berani,tetapi bukan bodoh dan kurang ajar! Berani bukan bermakna kita harus hilangkan adab sebagai manusia.
“Kepada adik mahasiswa yang rasa berani kerana berjaya bakar gambar PMX,anda sebenarnya seorang yang bacul dan bodoh,” tempelak Akmal.
Exco Melaka itu turut mempelawa pertemuan antara beliau dan kumpulan mahasiswa terbabit.
“Jika tidak berpuas hati dengan kenyataan saya,boleh aturkan perjumpaan dengan saya,saya nak sangat jumpa adik-adik mahasiswa ini.
“Tolong maklumkan saya tempat dan masa, Insya-Allah abang akan sampai untuk jumpa adik-adik depan-depan,” katanya.
Pada Jun 2025, kumpulan aktivis pelajar, Suara Mahasiswa UMS mengakhiri himpunan anti-rasuah di Kota Kinabalu dengan mesej berani iaitu dengan membakar karikatur Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Kumpulan itu mempamerkan sepanduk besar memaparkan karikatur Anwar bersama tulisan “Madani Pelindung Rasuah Sabah”, yang diletakkan di lokasi terbuka dan dapat dilihat orang ramai.