Pendirian Umno selari dengan PM, kenyataan bantah Tok Mat ‘peribadi’ – Zahid

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Pendirian Umno berhubung rancangan pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) diterajui Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah sama dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Penegasan keselarian pendirian itu dinyatakan sendiri oleh Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Zahid, komen Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan, semalam yang berharap penjualan saham MAHB kepada syarikat yang dikaitkan dengan firma pelaburan global, BlackRock, dikaji semula adalah ‘pandangan peribadi’.

“Pendirian Umno jelas… sama dengan perdana menteri.

“Saya jumpa beliau (Mohamad) malam tadi dan beliau beritahu itu pandangan peribadi,” katanya pada sidang media memetik FMT pada Isnin.

Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri mengiyakan bahawa isu berkait MAHB ini ada dibincangkan Jemaah Menteri, dan semasa mesyuarat pra majlis sidang Dewan Rakyat, dengan wakil rakyat kerajaan semalam.

Semalam, Mohamad yang juga Menteri Luar Negeri mendedahkan penjualan 30 peratus pegangan saham Khazanah Nasional dan KWSP dalam Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) kepada syarikat yang dikaitkan dengan firma pelaburan Amerika Syarikat (AS), BlackRock bukan keputusan Kabinet.

Timbalan Presiden Umno juga berkata, beliau berharap keputusan itu dikaji semula.

Justeru kata Mohamad, menteri dari Umno mendesak syarikat milik kerajaan itu tidak menjual pegangan saham MAHB kepada Global Infrastructure Partners (GIP).

“Kita beri pandangan selepas ianya diputuskan kerana dia tidak dibawa ke Kabinet, dan ia di bawa ke Kabinet selepas ia diputuskan.

“Jadi kita menteri-menteri Umno memberikan pandangan jika boleh perkara ini tidak diteruskan tetapi transaksi itu sudah terlampau maju.

“Jadi kita tengoklah macam mana, kita pun tidak tahu sama ada diteruskan atau tidak bukan di kalangan kita kerana Khazanah di bawah Kementerian Kewangan,” kata Mohamad.

Minggu lalu, dana pelaburan prasarana, GIP menegaskan BlackRock tidak terlibat dalam transaksi berhubung penstrukturan semula kepentingan dalam MAHB melalui konsortium Gateway Development Alliance (GDA).

Penjelasan itu menyusuli laporan bahawa Khazanah dan KWSP menerajui GDA, yang menawarkan mengambil alih MAHB.

Dua syarikat pelaburan berkait kerajaan itu berganding dengan GIP dan Abu Dhabi Investment Authority (Adia).

Sebaik tawaran sukarela prasyarat diselesaikan sepenuhnya, Khazanah akan meningkatkan pemilikannya dalam MAHB daripada 33.2 peratus kepada 40 peratus, manakala KWSP daripada 7.9 peratus kepada 30 peratus.

Pelabur Malaysia berkenaan secara kolektif akan memiliki 70 peratus MAHB, manakala Adia dan GIP masing-masing memiliki baki 30 peratus.

Kerajaan Malaysia akan mengekalkan pemilikan saham khas dalam MAHB, manakala pengerusi serta CEO akan terus dilantik dalam kalangan warga Malaysia, menurut kenyataan konsortium berkenaan.

Sebelum ini, beberapa pihak menggesa Putrajaya membatalkan urusan itu ekoran kaitan GIP dengan BlackRock, yang mempunyai pegangan dalam syarikat-syarikat senjata Amerika Syarikat yang menghasilkan senjata yang digunakan oleh Israel.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat