DOLLA Tetap ‘Here4U’: Lagu baru untuk para peminat

- Advertisement -

Kumpulan gadis sensasi, DOLLA, terus membuktikan kekuatan mereka dalam industri muzik dengan pelancaran single terbaru bertajuk ‘Here4U’. Karya ini menjadi bukti kesungguhan DOLLA dalam memperkukuhkan kehadiran mereka di pentas hiburan, sekaligus mengukuhkan hubungan erat dengan peminat mereka, yang dikenali sebagai iDOLLAs.

‘Here4U’ merupakan karya istimewa yang ditulis oleh salah seorang ahli kumpulan, Tabby, bersama komposer terkenal Hyuk Shin dan Chris Young. Menurut Tabby, inspirasi untuk lagu ini datang daripada sokongan berterusan iDOLLAs yang dianggap sebagai tulang belakang kumpulan tersebut.

“Semuanya bermula daripada petikan muzik instrumental yang indah dalam lagu ini! Hyuk Shin memberikan saya peluang untuk menulis dan mencipta melodi bersama. Memikirkan konsert DOLLA yang akan datang, kami merasakan ini adalah waktu yang tepat untuk menghasilkan lagu khusus buat para peminat kami. Inspirasi besar di sebalik ‘Here4U’ adalah iDOLLAs. Ini adalah ucapan terima kasih yang tulus kerana bertahan melalui semua halangan!” jelas Tabby dengan penuh keterujaan.

Seperti beberapa lagu hit mereka sebelum ini, ‘Here4U’ hadir dalam dua versi bahasa, iaitu Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris. Lirik Bahasa Malaysia ditulis oleh Putri Dahlia, Tabby, dan Hyuk Shin, manakala versi Bahasa Inggeris ditulis oleh Tabby dan Hyuk Shin.

Sabronzo, seorang lagi ahli kumpulan, menyatakan pengalaman bekerja menyiapkan lagu ini sangat menyenangkan. “Ia sesuatu yang sangat bagus kerana penulis lagu adalah ahli kami sendiri. Visi untuk lagu ini telah diterjemahkan dengan baik dan kami gembira menjadi sebahagian daripada projek yang menghubungkan semua orang secara peribadi,” kata Sabronzo lagi.

Sebagai tambahan kepada lagu ini, DOLLA juga telah melancarkan video lirik yang menggambarkan perjalanan mereka dari awal. Video tersebut menggabungkan pelbagai klip yang dirakam menggunakan telefon bimbit ahli kumpulan, memberikan gambaran visual yang peribadi tentang apa yang telah mereka lalui untuk mencapai kejayaan hari ini. Video lirik tersebut sudahpun tersedia di laman YouTube untuk tatapan seluruh dunia.

Meskipun sibuk dengan pelancaran single baru dan persiapan untuk konsert yang akan datang, DOLLA tetap bersemangat untuk membawa lebih banyak kejutan kepada peminat. “DOLLA pastinya sedang mengusahakan pelbagai rancangan untuk aneka festival yang besar sepanjang tahun ini. Selain itu, kami juga sedang menghasilkan muzik baharu dan menyusun hala tuju kami sebagai sebuah kumpulan yang ingin bergerak ke hadapan. Kami berharap peminat menyukai lagu ini kerana kami banyak berfikir untuk menyiapkannya, semoga peminat dapat menghayati dan memahami pesanan dalam lagu ini,” ujar Angel, ahli DOLLA.

Kumpulan ini berharap para peminat menyedari bahawa lagu ‘Here4U’ adalah penghormatan terhadap sokongan yang tidak berbelah bahagi sepanjang tahun ini. “Kami ingin mereka mengetahui bahawa lagu itu adalah satu penghormatan terhadap sokongan mereka yang tidak berbelah bahagi sepanjang tahun ini. ‘Here4U’ adalah surat terbuka untuk iDOLLAs kami dalam bentuk lagu,” kata Sabronzo mengakhiri dengan pesan yang tulus.

‘Here4U’ kini tersedia di semua platform digital bermula 7 Jun 2024.

Strim “HERE4U” : http://dolla.lnk.to/_Here4U 

Tonton Video Lirik Di Sini: https://youtu.be/RNFIaDKZePc?si=H5drU849w8mVD7kv

 Ikuti DOLLA: Instagram | YouTube | TikTok | Facebook

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat