RM3.3 Juta Kepada Guan Eng Bagi Bantu Dapat Projek Jalan, Terowong – Pengarah ZCSB

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pengarah Syarikat Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (ZCSB) memberitahu Mahkamah Sesyen hari ini bahawa beliau memberikan wang berjumlah RM3.3 juta kepada Lim Guan Eng bagi membantu syarikatnya mendapatkan projek tiga jalan utama dan terowong di Pulau Pinang.

Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, 62, berkata kesimpulannya, kesemua duit diberikan kepada Lim, yang ketika itu Ketua Menteri Pulau Pinang, adalah tertakluk kepada dua syarat iaitu beliau dianugerahkan projek tersebut dan dibayar dengan cepat apabila tuntutan bayaran diluluskan.

“Ini semua adalah sebahagian daripada tuntutan 10 peratus daripada keuntungan projek itu. Jika projek itu tidak dianugerahkan kepada saya, sudah pasti saya tidak akan memberikan duit-duit tersebut,” katanya ketika membacakan pernyataan saksi dalam pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh pada perbicaraan kes rasuah Lim yang berdepan empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

Menceritakan penyerahan RM2 juta daripada RM3.3 juta itu kepada Lim, Zarul Ahmad berkata beliau memberikan wang tersebut kepada Lim menerusi seorang ahli perniagaan dikenali sebagai Gnanaraja sebagai perantara kerana bimbang dipantau oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Pada 17 Ogos 2017, saya ada maklumkan kepada Azli Adam untuk mengeluarkan wang tunai sebanyak RM2 juta untuk diberikan kepada YB Lim. Selepas urusan projek saya selesai di Pulau Pinang, saya ada menghubungi dan memaklumkan Gnanaraja yang saya ingin bertemu pada keesokan harinya.

“Saya juga ada beritahu Gnanaraja yang saya ingin menyerahkan ‘Chocolate’ kepadanya untuk diberikan kepada ’Big Boss’ melalui WhatsApp. Chocolate ini bermaksud wang tunai,” katanya.

Saksi pendakwaan ke-23 itu juga berkata pada Ogos 2017, kira-kira 5 petang, beliau telah bertemu Gnanaraja di sebuah hotel di Petaling Jaya untuk menyerahkan dua beg sukan berisi RM1 juta.

“Gnanaraja tiba dan telah parkir di depan kereta saya di hadapan lobi hotel. Kereta yang beliau naiki adalah jenis Bentley. Selepas itu, saya turun dan meletakkan dua beg tersebut ke dalam bonet kereta Gnanaraja,” katanya.

Menurut saksi itu, Gnanaraja telah menyerahkan satu beg berisi RM1 juta kepada Lim semasa dalam perjalanan ke sebuah sebuah pusat membeli-belah di sini pada 20 Ogos 2017.

“Saya dapat lihat YB Lim kelihatan gembira semasa saya memperkenal Gnanaraja kepadanya dan dalam perjalanan ke Publika, YB Lim juga ada memberitahu bahawa beliau akan hadir ke rumah Gnanaraja bagi membincangkan perkara berkaitan Gnanaraja yang akan menjadi perantara dalam pemberian wang rasuah kepada YB Lim.

“Sejurus tiba di Publika, YB Lim menepuk bahu tanda terima kasih. Melalui gerak geri tersebut, saya pasti ia kerana beg yang berisi wang RM1 juta itu telah diambil oleh beliau dan YB Lim ingin berterima kasih kepada saya,” katanya.

Saksi itu berkata beliau telah memaklumkan kepada Gnanaraja untuk menyerahkan baki RM1 juta yang masih dalam simpanannya (Zarul Ahmad) kepada Lim yang ketika itu berada di Kuala Lumpur pada 28 Ogos 2017 bagi menghadiri mesyuarat parti.

Menurut Zarul Ahmad, duit RM2 juta itu diminta oleh Lim kerana beliau menjangkakan pilihan raya akan diadakan tidak lama selepas itu dan jika tidak diberi, dikhuatiri tertuduh mengganggu projeknya pada masa hadapan.

Zarul Ahmad berkata beliau juga telah memberikan wang berjumlah RM1 juta kepada Lim pada Januari, April serta Mei 2016 termasuk sempena Tahun Baharu Cina dan ia adalah 10 peratus daripada keuntungan projek itu.

Terdahulu, Zarul Ahmad berkata sekitar Disember 2014, beliau memberikan wang RM100,000 kepada Lim sempena ulang tahun kelahirannya manakala semalam, beliau memaklumkan mahkamah beliau memberikan wang RM200,000 kepada Lim pada 2013 dan 2014.

Zarul Ahmad juga berkata beliau bekerjasama dengan SPRM bukan kerana politik sebaliknya selepas agensi itu mendedahkan beberapa penemuan yang menunjukkan bahawa beliau hanya dijadikan alat oleh Lim.

“Jika saya tidak dipanggil oleh SPRM untuk memberi keterangan maka perkara ini tidak berbangkit dan saya tidak akan mendedahkan apa-apa berkenaan dengan salah laku saya dan YB Lim. Pihak SPRM telah meneruskan siasatan mereka iaitu kesinambungan daripada siasatan yang telah dijalankan pada awal tahun 2018.

“Siasatan yang dibuat oleh SPRM kali ini telah menemukan banyak bukti dan saya harus ceritakan semuanya. Ini adalah kerana terdapat penemuan mengenai pengeluaran wang tunai yang besar dan ditanyakan kepada saya. Bagi mengelakkan saya atau Azli Adam dikenakan tindakan, saya memutuskan untuk menceritakan secara terperinci pembayaran lain kepada YB Lim,” katanya.

Lim, 61, berdepan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta dalam membantu syarikat milik Zarul Ahmad bagi mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu sebagai penghargaan mendapatkan projek tersebut dan dituduh melakukan perbuatan itu berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini pada Mac 2011.

Lim, yang juga bekas Setiausaha Agung DAP, turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung Isnin depan. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat