Mahkamah arah Rosmah fail pembelaan saman 1MDB 4 Julai ini

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Datin Seri Rosmah Mansor diarah memfailkan pernyataan pembelaan terhadap saman dikemukakan syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan lima anak syarikat serta empat yang lain, pada 4 Julai ini.

Saman itu adalah berhubung ribuan barangan mewah bernilai AS$346 juta didakwa dibeli menggunakan dana syarikat itu yang diselewengkan.

Dalam prosiding pengurusan kes yang dijalankan melalui aplikasi Zoom hari ini, Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Malarselvi Sanmugam turut mengarahkan 1MDB dan sembilan yang lain memfailkan jawapan kepada pernyataan pembelaan itu pada 2 Ogos.

Mahkamah kemudian menetapkan pada 14 Jun ini bagi pengurusan kes lanjut.

Pada prosiding itu, peguam Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff bertindak bagi pihak Rosmah manakala Datuk Lim Chee Wee mewakili 1MDB.
Mohamed Baharudeen mengesahkan perkara itu ketika dihubungi media, lapor BH pada Jumaat.

Dalam kes saman terbabit, 1MDB dan plaintif lain turut menuntut isteri bekas perdana menteri itu membayar AS$346,010,489 atau sejumlah amaun yang ditaksirkan oleh Mahkamah Tinggi.

Kesemua plaintif ialah 1MDB dan lima anak syarikatnya, iaitu 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited, Global Diversified Investment Company Limited dan SRC International Sdn Bhd.

Plaintif lain adalah syarikat pesisir luar iaitu Affinity Equity International Partners Limited, Alsen Chance Holdings Limited, Blackrock Commodities (Global) Limited, Blackstone Asia Real Estate Partners Limited dan Brightstone Jewellery Limited.

Saman itu menamakan Rosmah sebagai defendan pertama manakala Shabnam Naraindas Daswani (juga dikenali sebagai Natasha Mirpuri) sebagai defendan kedua.

Plaintif mendakwa, barangan mewah berkenaan, iaitu antara lain ribuan item jenama barang kemas, jam tangan dan beg tangan, telah dibeli oleh atau untuk Rosmah, bukan dengan wang sendiri tetapi dengan dana yang diselewengkan daripada anak syarikat 1MDB.

Menurut plaintif, dana itu disalurkan melalui pelbagai entiti luar pesisir termasuk Affinity Equity, Alsen Chance, Blackrock, Blackstone dan Brightstone sebelum dibayar kepada 48 vendor berbeza daripada 14 bidang kuasa bagi pembelian barangan mewah berkenaan iaitu sebanyak 320 bayaran berjumlah AS$346,010,489.

Blackrock dan Blackstone adalah syarikat dikaitkan dengan sekutu ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, iaitu Eric Tan.

Sehubungan itu, mereka menuntut perisytiharan bahawa 1MDB dan lima anak syarikatnya (plaintif pertama hingga keenam) mempunyai kepentingan proprietari berekuiti atau kepentingan benefisial terhadap barangan mewah berkenaan yang dapat dikesan dalam pemilikan Rosmah.

Plaintif juga memohon perisytiharan bahawa Rosmah memegang barangan mewah itu dan hasilnya yang dapat dikesan atas amanah konstruktif bagi 1MDB dan anak syarikatnya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat