Tiga Pemimpin PKR Dilantik Terajui Tiga Agensi Kerajaan

- Advertisement -

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Subang, Wong Chen telah dilantik sebagai pengerusi bukan eksekutif Malaysia Debt Ventures (MDV).

MDV dalam satu kenyataan memaklumkan, pelantikan Ahli Parlimen PKR itu berkuat kuasa semalam (23 Mei).

“Memandangkan pengalaman dan kepakaran luas Wong Chen, MDV yakin di bawah kepimpinannya, MDV akan terus memajukan syarikat teknologi dan syarikat baharu Malaysia untuk manfaat negara,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Difahamkan Wong Chen menggantikan Khairul Azwan Harun, yang tempoh perkhidmatannya berakhir pada 31 Disember 2022.

MDV adalah anak syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) [MOF (Inc)] dan sebuah agensi di bawah bidang kuasa Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Ditubuhkan pada 2002, syarikat itu menyediakan kemudahan pembiayaan yang fleksibel dan inovatif untuk membangunkan sektor Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) yang telah dikenal pasti dan diberi keutamaan oleh kerajaan sebagai pemangkin kepada pertumbuhan negara.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin pula dilantik sebagai pengerusi Technology Depository Agency (TDA), sebuah agensi di bawah Kementerian Kewangan.

“Pelantikan Ahli Parlimen PKR itu berkuat kuasa 15 Mei.

“Semoga dengan pelantikan ini kan dapat memberi aspirasi kepada TDA dalam memacu pembangunan teknologi dan industri ke arah objektif dan sasaran negara selaras dengan mandat dasar-dasar Perolehan yang ditetapkan,” katanya.

TDA ditubuhkan untuk mengurus, mentadbir dan memantau semua pelaksanaan aktiviti Program Kolaborasi Industri (ICP) di Malaysia untuk memastikan ia mematuhi proses dan keperluan seperti yang ditetapkan dalam Rangka Kerja Pengurusan ICP Malaysia.

Sementara itu, bekas Ahli Parlimen Kapar, Abdullah Sani Abdul Hamid dari PKR dilantik untuk mengetuai Tekun Nasional.

Tekun Nasional adalah sebuah agensi yang ditugaskan menyediakan kemudahan pembiayaan kepada perniagaan Bumiputera di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi. – Sinar

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat