KUALA LUMPUR – Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli mengemukakan cadangan kepada pelajar lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) supaya mengambil jurusan akauntan bertauliah seperti beliau.
Rafizi memaklumkan Yayasan Peneraju, sebuah agensi Bumiputra di bawah Kementerian Ekonomi diamanahkan melahirkan profesional Bumiputera.
Ujar Rafizi, salah satu fokus utama ialah menggandakan jumlah akauntan bertauliah Bumiputera.
“Dilema ibu bapa dan pelajar ialah jurusan apa nak ambil selepas SPM. Banyak yang kata akan pilih ikut minat. Nasihat saya kena imbangkan antara minat dengan peluang kerjaya baik masa hadapan.
“Sebab itu saya syorkan jadi akauntan bertauliah, macam saya!
“Saya dulu pelajar sains tulen. Habis SPM, buat A-Levels pun sains tulen. Ijazah pun buat kejuruteraan elektrik dan elektronik. Habis universiti, saya kerja sebagai auditor dan akauntan bertauliah. Eyh, macam mana pulak? Sebab kerjaya akauntan tidak memerlukan kita belajar akaun di sekolah atau universiti. Malah, untuk jadi akauntan bertauliah tak perlukan ijazah perakaunan pun.
“Hanya perlu lulus peperiksaan dari institut akauntan bertauliah seperti ICAEW atau ACCA.
“Industri kewangan dan perakaunan sangat mengutamakan kelayakan akaun bertauliah seperti ini,” kongsi Rafizi.
Timbalan Presiden PKR itu juga memberitahu, bermula 2025, jumlah pengambilan pelajar lepasan SPM untuk menjadi akauntan bertauliah ditingkatkan dari 500 orang setahun kepada 1,500 orang setahun, naik 2 kali ganda.
“Pelajar yang berjaya akan diberi pembiayaan mengikut kesesuaian dan ditempatkan di kolej-kolej profesional seperti Sunway University, INTEC Shah Alam, Tymba dan lain-lain.
“Jika adik berjaya lulus semua peperiksaan tanpa gagal, pada umur 21 tahun adik sudah boleh mula bekerja sebagai akauntan bertauliah di firma-firma besar.
Proses permohonan seperti berikut:
- Isi borang di laman https://peneraju.org/ dengan keputusan SPM
- Hadir bersama ibu bapa ke taklimat dan temuduga di bandar-bandar terpilih seperti berikut:
27 April – Shah Alam di Auditorium MBSA, Shah Alam dari jam 10 pagi hingga 4 petang.
10 Mei – Port Dickson, Ipoh, Kuantan, Kuching.
11 Mei – Mukah, Betong, Muar, Sungai Petani.
17 Mei – Kuala Terengganu, Sandakan, Tawau.
18 Mei – Tuaran
“Sebarkan maklumat ini. Semak maklumat yang dikemaskini di https://peneraju.org/
“Antara keputusan terbaik saya pernah buat ialah menjadi akauntan bertauliah di bawah ICAEW. Saya harap lebih ramai yang memilih jalan ini,” seru Rafizi.