Isu kesucian air sungai serah ke Jabatan Agama Islam Perak bukan ahli politik – Saarani

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad menegaskan bahawa sebarang dakwaan berhubung kesucian air sungai yang dikaitkan dengan pencemaran dari ladang ternakan babi harus diserahkan kepada pihak berautoriti untuk disiasat, termasuk Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

Beliau mengulas dakwaan Perikatan Nasional (PN) kononnya air Sungai Bidor yang mengalir hingga ke kawasan DUN Ayer Kuning tercemar dengan najis babi sehingga tidak suci dan tidak sesuai digunakan untuk berwuduk.

“Kalau nak tahu betul atau tidak (tercemar), biar jabatan kerajaan yang bertanggungjawab jalankan siasatan.

“Begitu juga kalau nak uji air itu cukup syarat atau tidak untuk ambil wuduk, biar Jabatan Agama Islam yang nilai, bukan ahli politik.

“Waktu sekarang ini kalau dijawab pun, tidak betul juga kerana tujuan mereka adalah untuk mempolitikkan keadaan,” lapor Astro Awani.

Saarani berkata, rentetan isu penternakan babi di kawasan DUN Ayer Kuning yang dibawa PN sejak awal kempen hingga menjelang tempoh pengundian, hanya membuktikan jentera pakatan pembangkang itu sudah ketandusan idea.

Katanya, kerajaan negeri melalui Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional, A Sivanesan telah mengambil tanggungjawab menyelesaikan isu tersebut secara berperingkat sejak dua tahun lalu.

“Saya rasa isu ini telah dijawab panjang lebar oleh Exco yang bertanggungjawab.

“Walaupun bukan portfolio utama beliau, Sivanesan sendiri minta untuk bantu selesaikan isu ini dan kita beri peluang. Dia telah buat banyak kerja walaupun bukan mudah,” katanya.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak itu meminta rakyat agar menilai rekod pentadbiran kerajaan negeri secara menyeluruh dan memberi peluang meneruskan usaha pembangunan yang telah dirancang.

Ujarnya, kerajaan negeri kini memberi tumpuan untuk menjadikan Perak sebagai negeri industri, dan usaha itu memerlukan pasukan pentadbiran yang kukuh serta wakil rakyat yang komited.

“Saya dah jadi ADUN enam penggal, hampir semua perkara untuk kesejahteraan rakyat kita dah buat. Mungkin tak semua puas hati, tetapi kita cuba,” katanya.

Terdahulu, Saarani hadir merasmikan Program Seminar Keibubapaan anjuran Yayasan Perak di Sekolah Menengah Sains Tapah di sini pada Rabu.

Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah; Pengurus Besar Yayasan Perak, Dr Nasreen Khanum Nawab Zadah Khan dan Pengarah Pendidikan Perak, Safuan Rabaai.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat