KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini menetapkan 21 Julai ini untuk keputusan sama ada ibu bapa Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin dibebaskan atau diperintah membela diri atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik itu.
Tarikh itu ditetapkan Hakim Dr Syahliza Warnoh selepas pendakwaan menutup kes mereka hari ini dengan 28 saksi dipanggil dalam 20 hari perbicaraan bermula 4 Februari lalu.
Dr Syahliza turut menetapkan tarikh-tarikh lain iaitu 23 Mei untuk hujahan bertulis dan 6 Jun pula hujahan balas kedua-dua pihak.
“Mahkamah menetapkan keputusan pada 21 Julai ini dan sekiranya tertuduh-tertuduh dipanggil membela diri, perbicaraan bela diri bermula pada hari sama sehingga 24 Julai bagi menjimatkan masa,” katanya lapor Harian Metro pada Khamis.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin memaklumkan kepada mahkamah bahawa pendakwaan menutup kes mereka dengan saksi terakhir dipanggil memberi keterangan adalah bekas pegawai penyiasat kanan jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Asisten Superintendan Mohd Hafizee Ismail.
Antara saksi yang dipanggil pendakwaan adalah eksekutif jualan, Faizul Najib Abd Munaim yang menemui arwah Zayn Rayyan atas timbunan pasir di aliran sungai; pengasuh, Auni Afiqah Abas; guru prasekolah pendidikan khas, Siti Aminah Nor Mad Ali dan dua saksi kanak-kanak berusia 10 tahun.
Selain itu, saksi lain ialah pakar patologi, Dr Rohayu Shahar Adnan, pakar pediatrik Dr Bernice Lim Pei-Yi dan dua pegawai penyiasat yang menyiasat kes kehilangan kanak-kanak itu.
Pihaknya juga menawarkan 23 saksi kepada pihak pembelaan sekiranya kedua-dua tertuduh dipanggil membela diri.
Pasukan pendakwaan turut diwakili Timbalan Pendakwa Raya Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi manakala pasangan suami isteri itu diwakili peguam Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh.
Sementara itu, dalam prosiding hari ini, Ramzani memaklumkan, pembelaan akan mengemukakan tujuh saksi sekiranya anak guam mereka dipanggil membela diri.
Pada 13 Jun tahun lalu, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf yang kedua-duanya berusia 30 tahun mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pengabaian terhadap anak mereka di Mahkamah Sesyen di sini.
Mengikut pertuduhan pindaan, pasangan suami isteri itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka Zayn Rayyan Abdul Matin yang berusia enam tahun (ketika kejadian) didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar kawasan Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan Apartment Idaman, Damansara Damai di sini antara jam 12 tengah hari, 5 Disember dan jam 9.55 malam pada 6 Disember 2023.
Justeru, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.